Presiden FAM Perlu Pakar Pengurusan Bola Sepak


KOTA BHARU – Individu yang dipilih bagi memegang jawatan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada Kongres FAM Ke-53 nanti mesti mempunyai kepakaran dalam pengurusan sukan bola sepak.

Bekas pemain kebangsaan dan Kelantan era 80-an Mohd Hashim Mustapha menyeru agar anggota gabungan FAM membuat pilihan tepat bagi memajukan lagi sukan bola sepak di negara ini.

“Saya bukanlah seorang yang pakar dalam bidang pengurusan tapi dalam permainan, saya ada sedikit pengetahuan.

“Bagi saya sesiapa sahaja layak sandang jawatan itu asalkan dia boleh bekerja dan membawa perubahan dalam sukan ini,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini, semalam.

FAM akan melangsungkan pemilihan yang dijangka akan diadakan pada Mac ini bagi mencari presiden baharu bagi persatuan itu yang jawatannya kini disandang oleh Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah.

Setakat ini, hanya Tan Sri Annuar Musa yang telah mengesahkan akan bertanding bagi merebut jawatan berkenaan.

Sementara itu seorang lagi bekas pemain kebangsaan Dali Omar berkata beliau berharap agar presiden baharu FAM akan lebih tegas dengan pemain bagi meningkatkan lagi mutu bola sepak Malaysia.

“Presiden mungkin hanya boleh bawa perubahan dalam pengurusan bola sepak negara tapi jika pemain sendiri tiada niat untuk meningkatkan persembahan mereka, mutu bola sepak negara akan terus berada di takuk lama.

Justeru saya harap presiden baharu akan lebih tegas mengenai perkara ini agar impian kita nak lihat sukan ini setanding dengan negara lain akan tercapai,” katanya. – BERNAMA

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com