PPBM Punca Masalah Dalaman DAP Meruncing - Pemuda UMNO Kedah


ALOR SETAR - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dianggap merupakan punca sebenar berlakunya ketidakpuasan hati di kalangan pemimpin DAP sehingga menyebabkan berlaku pepecahan dan masalah dalaman parti itu.

Ketua Pemuda UMNO Negeri Kedah, Dato' Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata, DAP kini menerima padah apabila empat wakil rakyatnya bertindak keluar parti dan beliau optimis mendakwa tindakan tersebut dibuat adalah gara-gara kerjasama parti itu dengan PPBM.

"Perkara ini menyerlahkan lagi apabila empat wakil rakyat DAP Melaka mengumumkan keluar parti.

"Itu juga menunjukkan bahawa DAP sendiri mempunyai masalah dalaman akibat kerjasama mereka dengan PPBM," kata Shaiful Hazizy mengulas mengenai perkembangan terkini parti yang mengetuai Pakatan Harapan itu.

Beliau berkata, DAP ketika mengetuai Pakatan Rakyat dahulu masih mampu mengawal PKR dan PAS supaya mengikut telunjuknya, namun parti pimpinan Lim Kit Siang dilihat kucar-kacir serta terpalit masalah dalaman yang meruncing setelah bekerjasama erat dengan PPBM.

Malah katanya, ekoran kerjasama DAP - PPBM itu, ramai pemimpin DAP yang tidak berpuas hati dengan kepimpinan Kit Siang dan Guan Eng.

Justeru itu, Shaiful Hazizy menyarankan DAP supaya segera menghindarkan diri dari PPBM dan tidak lagi bekerjasama dengan parti tersebut sekiranya berhasrat untuk memadam masalah dalaman yang melanda parti itu.

"Nasihat saya kepada DAP supaya letakkanlah PPBM di tepi sebelum ia menjadi punca kepada perpecahan dalam DAP," katanya. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com