Polis Tahan Lelaki, Rampas 1,175 Bungkus Air Ketum


BESUT – Polis menahan seorang lelaki berusia 25 tahun dan merampas 1,175 bungkus air ketum di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Kepala Gajah, Renek dekat sini petang kelmarin.

Ketua Polis Daerah Besut, Supt Mohd Zamri Mohd Rowi berkata dalam serbuan kira-kira pukul 5.30 petang itu, bungkusan air ketum tersebut ditemui tersimpan dalam dua tong plastik dan tiga bungkusan plastik di ruang tamu rumah yang didiami lelaki berkenaan.

“Ketika disoal siasat suspek mengatakan dia hanya sebagai penjaga rumah itu dan tidak tahu mengenai kewujudan air ketum berkenaan,” katanya kepada pemberita di sini semalam.

Menurutnya, suspek yang tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau direman mengikut Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952 untuk siasatan lanjut.

Dalam perkembangan lain, Mohd Zamri berkata seorang lelaki berusia 60 tahun cedera apabila dipukul dan ditetak dengan sabit oleh anaknya setelah berlaku pertengkaran di rumahnya di Kampung Bakat, Jabi dekat sini petang kelmarin.

Katanya dalam kejadian pukul 4.55 petang itu, suspek yang merupakan penagih dadah telah pergi ke rumah bapanya dan berlaku perselisihan faham sehingga pertengkaran berlaku.

“Suspek berusia 22 tahun yang mempunyai rekod jenayah lampau berhubung dadah bertindak memukul dan menetak mangsa menggunakan sabit hingga luka di bahu mangsa,” katanya.

Menurut Mohd Zamri, polis menahan suspek bersama sabit yang digunakan dan kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan. – BERNAMA

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com