Polis Sarawak Tahan 10 Pemilik Akaun FB Kerana Catatan Palsu Tahun Ini


MIRI – Polis telah menahan 10 pemilik akaun Facebook atas pelbagai kesalahan penyalahgunaan media sosial setakat ini tahun ini di Sarawak.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri Datuk Dev Kumar berkata kebanyakan kesalahan yang dilakukan ialah memuat naik berita palsu dan kenyataan berunsur fitnah.

“Sekalipun telah diberi amaran berulang kali oleh polis, sesetengah netizen terus melanggar undang-undang dengan memuat naik berita tentang jenayah yang tidak pernah berlaku di media sosial,” katanya dalam kenyataan, di sini semalam.

Beliau berkata berita palsu berkecenderungan tersebar lebih cepat, sekali gus mewujudkan perasaan takut dan bimbang dalam kalangan masyarakat.

“Apabila laporan polis dibuat terhadap satu-satu akaun Facebook, pemiliknya hanya menunggu masa sebelum dikesan dan ditahan polis,” katanya.

Kenyataan Dev Kumar itu sebagai respons kepada tangkapan terkini membabitkan mekanik kereta berusia 23 tahun di sini selepas dia memuat naik berita palsu kes rogol dan bunuh semalam.

Berita palsu itu mendakwa seorang wanita telah dirogol, dibunuh dan mayatnya dibuang berhampiran sebuah restoran makanan segera di bandar raya Miri.

Susulan itu, satu laporan polis dibuat pagi semalam dan suspek ditahan 11.30 malam tadi.

Mengulas tangkapan terkini itu, Dev Kumar berkata suspek disiasat menurut Seksyen 500 Kanun Keseksaan (KK) serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Seksyen 500 KK memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. – BERNAMA

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com