Petani Sanggup Belajar Sendiri Undang-Undang Untuk Saman Syarikat


Seorang petani, Wang Enlin, sanggup menghabiskan masa selama 16 tahun untuk mempelajari mengenai undang-undang bagi membolehkan dia menyaman sebuah syarikat kerana telah mencemari tanahnya dengan bahan kimia.

Wang, yang kini berusia dalam lingkungan 60-an, hanya mendapat pendidikan asas selama tiga tahun sahaja namun ketabahannya itu membolehkan dia memenangi kes berprofil tinggi itu terhadap Kumpulan Qihua.

Qihua telah diarahkan membayar pampasan sebanyak RM526,000 kepada Wang dan penduduk di kampung Yushutun, China. Syarikat itu, yang mempunyai aset melebihi satu bilion ringgit bagaimanapun telah mengemukakan rayuan terhadap keputusan terbabit.

Ketika menceritakan pengalamannya itu, Wang berkata pada 2001, tanahnya telah dicemari dengan air mengandungi toksid yang dilepaskan dari syarikat Qihua hingga mengakibatkan tanahnya tidak boleh ditanam dengan hasil pertanian kerana tercemar.

Sekitar 2001 hingga 2016, Qihua telah beberapa kali melepaskan air tercemar itu ke kawasan kampung terbabit dengan anggaran sekitar 20,000 tan bahan kimia dilepaskan setiap tahun.

Wang kemudiannya menulis surat kepada pejabat tanah, namun diminta mengemukakan bukti bahawa tanah tersebut telah tercemar.

“Saya tahu saya betul tetapi tidak tahu apa undang-undang yang dilanggar oleh pihak berkenaan atau sama ada terdapat bukti mengenainya,” katanya.

Dia kemudiannya memutuskan untuk belajar undang-undang.

Wang tidak ke sekolah undang-undang sebaliknya hanya membaca buku. Dia akan membacanya di kedai buku dan memandangkan Wang tidak mempunyai duit maka dia telah memberikan jagung percuma kepada pemilik kedai buku terbabit.

Pada 2007, sebuah syarikat guaman bersetuju memberikan nasihat guaman secara percuma kepada Wang namun disebabkan komplikasi dalam kes itu, mahkamah hanya memproses kes berkenaan pada 2015, iaitu selepas lapan tahun petisyen asal dikemukakan.

Dengan bukti yang dikumpul oleh Wang selama 16 tahun, akhirnya Wang dan jirannya menang pada pendengaran pertama itu. – Kedahnews.com

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com