Permohonan E-Kad Tidak Akan Dilanjutkan Selepas 30 Jun


PUTRAJAYA – Tempoh permohonan kad sementara ‘Enforcement Card’ (E-Kad) untuk pendatang tanpa izin (PATI) yang bermula semalam tidak akan dilanjutkan selepas 30 Jun depan, kata Ketua Pengarah Imigresen Datuk Seri Mustafar Ali.

Beliau berkata program itu menyasarkan pendaftaran kira-kira sejuta PATI.

“Proses tidak akan dilanjutkan tetapi yakin sasaran PATI didaftarkan boleh dicapai berdasarkan kelancaran sistem yang diguna selain sambutan positif majikan,” katanya kepada pemberita selepas meninjau hari pertama pendaftaran E-Kad di sini, semalam.

Beliau berkata berdasarkan pemantauannya setakat ini, purata satu hingga 50 pekerja didaftarkan oleh setiap majikan.

Pendaftaran E-Kad ini boleh dibuat di Putrajaya dan semua pejabat imigresen di Semenanjung Malaysia.

Katanya E-Kad yang dikeluarkan Jabatan Imigresen dilengkapi ciri-ciri keselamatan seperti biometrik pekerja dan majikan, nombor pendaftaran dan nama syarikat, kod bar dan tandatangan Ketua Pengarah Imigresen serta Ketua Polis Negara di bahagian belakang.

Mustafar berkata E-Kad yang hanya sah sehingga 15 Feb tahun depan itu terbuka kepada pekerja yang mempunyai majikan dalam sektor pembinaan, perladangan, perkhidmatan, perkilangan dan pertanian.

Ditanya tindakan lanjut selepas tempoh pendaftaran berakhir, beliau berkata PATI yang tidak berdaftar akan diusir manakalan majikan pula berdepan tindakan undang-undang termasuk aset dan akaun dibekukan.

Pelaksanaan program E-Kad ini menyusuli kenyataan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada 17 Jan lepas bahawa Kementerian Dalam Negeri telah memperoleh kebenaran daripada Jabatan Peguam Negara untuk mengeluarkan kad sementara kepada PATI yang bermajikan. – BERNAMA

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com