Penghidap Kanser Payudara Dapat Perhatian Adun Bukit Selambau

Krishnamoorthy (tengah) menyampaikan bantuan keperluan awal dan sumbangan wang kepada keluarga Noor Azizah.
SUNGAI PETANI - Seorang penghidap kanser payudara tahap empat  lega apabila mendapat perhatian Adun Bukit Selambau, Dr R Krishnamoorthy yang menyampaikan bantuan di kediamannya di Taman Ria Jaya, di sini, semalam.

Noor Azizah Nordin, 40, yang menghidap kanser itu sejak tahun 2014, kini terlantar atas katil setelah keadaannya semakin lemah.

Menurutnya, penyakit itu mula diketahui sewaktu dia melakukan pemeriksaan di hospital apabila terdapat ketulan pada payudara di bahagian kiri.

“Hasil pemeriksaan itu, pihak hospital mendapati saya menghidap kanser di tahap kedua dan saya menjalani pembedahan membuang payudara pada Disember 2014.

“Selepas itu, keadaan saya semakin hari semakin lemah sehingga kanser itu merebak ke tulang belakang dan kini hanya terlantar di atas katil,” katanya kepada Sinar Harian, baru-baru ini.

Hadir sama menyampaikan bantuan itu ialah Timbalan Ketua Wanita  PKR Sungai Petani, Rohayu Johari.

Ibu kepada empat anak itu berkata, sejak menjalani rawatan berkenaan, keadaannya lemah dan letih serta tiada selera makan dan kadang-kala muntah.

Katanya lagi, dia juga kini terpaksa ulang alik ke Hospital Pulau Pinang, selain mendapatkan rawatan lanjut di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH).

“Sejak menderita penyakit kanser ini, segala tugas dan mencari nafkah ditanggung oleh suami yang hanya bekerja sambilan dengan pendapatan tidak menentu.

“Sebelum ini, dia mempunyai pekerjaan tetap tetapi selepas saya jatuh sakit, dia berhenti kerja untuk menjaga saya serta uruskan keluarga.

“Anak-anak pula masih bersekolah. Anak sulung kini menuntut di Maktab Rendah Sains Mara Merbok, tapi yuran pengajian masih belum dijelaskan lagi, walaupun sudah masuk bulan Februari," katanya.

Krishnamoorthy berkata, beliau berharap Noor Azizah dapatmengharungi dugaan berkenaan dan kuat untuk menentang penyakit kanser itu.

“Selain sampaikan bantuan, pihak kami juga ada membantu membuat permohonan bantuan bulanan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk Noor Azizah dalam meringankan beban keluarga ini,” katanya.

Sumber: Sinar Harian

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com