Pemilik Bengkel Motosikal Didakwa Bunuh Pelanggan Sendiri


KUALA LUMPUR – Seorang pemilik bengkel motosikal didakwa di Mahkamah Majistret Ampang di sini semalam atas pertuduhan membunuh seorang pelanggan bengkelnya, bulan lepas.

R. Saravanan, 32, mengangguk faham selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Majistret Mohamad Izwan Mohamed Nor. Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh kerana kes berkenaan merupakan bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Saravanan yang juga mekanik di bengkel itu didakwa membunuh G. Shaarunan, 19, seorang penganggur, yang merupakan pelanggan yang dikenalinya di BKS Motor Trading, di Kampung Tasek Permai, di sini antara 7 malam dan 9 malam, 27 Jan lepas.

Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan.

Mahkamah menetapkan 17 April untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Zuhaini Mahamad Amin manakala tertuduh diwakili peguam J. Jayarubbiny.

Terdahulu, tertuduh yang dikerumuni beberapa anggota keluarganya menangis semasa dibawa masuk ke mahkamah. – BERNAMA

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com