Pejabat FAP Dibaling Bom Molotov Cocktail


GEORGETOWN - Pejabat Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang (FAP) di Jalan Sepoy di sini dibaling dengan bom botol atau molotov cocktail kelmarin.

Kejadian itu disedari salah seorang petugas pejabat berkenaan yang datang untuk memulakan tugasnya kira-kira jam 7.55 pagi.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Mior Faridalathrash Wahid mengesahkan kejadian itu ketika dihubungi, semalam.

Menurutnya, petugas pejabat itu menyedari kejadian itu selepas mendapati ada kesan terbakar dan botol pecah disyaki kesan dari molotov cocktail.

"Hasil siasatan di tempat kejadian, terdapat serpihan botol kaca dan bahan dipercayai molotov coktail di hadapan pejabat berkenaan.

"Selain itu, tiada pengawal keselamatan dan kamera litar tertutup (cctv) di sekitar kawasan kejadian. Dari keterangan petugas berkenaan, tiada saksi yang melihat kejadian itu.

"Dia juga tidak mengesyaki sesiapa kerana kejadian itu adalah kejadian pertama berlaku di pejabat berkenaan," katanya.

Mior Faridalathrash berkata, polis sedang menjalankan siasatan dengan merakamkan percakapan semua petugas pejabat berkenaan.

"Polis juga akan mendapatkan maklumat risikan bagi mengetahui motif kejadian itu.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana khianat dan buat masa ini, tiada suspek ditahan," katanya.

Sumber: Sinar Harian

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com