PAS Kedah Perlu Jadi Anak Jantan Berdepan Ugutan "Pelawak Politik" - Shaiful Hazizy


ALOR SETAR - PAS Kedah hari ini dicabar supaya lebih vokal dan bersikap seperti anak jantan untuk berdepan dengan ugutan Tun Dr Mahathir Mohamad yang memberi tempoh sebulan kepada parti itu untuk menyertai Pakatan Harapan yang diketuai DAP.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Kedah, Dato' Shaiful Hazizy berkata, ugutan dari Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu melayakkan beliau menjadi pelawak politik terkini tanahair dan PAS yang sepatutnya tidak gentar berdepan dengan parti politik baru itu.

"Kita ingin mengingatkan Dr. Mahathir supaya berpijak di bumi yang nyata dan tidak terus menerus memalukan dirinya sendiri. Mungkin Dr Mahathir mahu jadi pelawak isu politik negara yang terkini.

"Kita juga agak musykil bagaimana sebuah parti yang tidak stabil dan pada masa yang sama masih tercari-cari tapak yang kukuh boleh memberi amaran dan kata dua kepada PAS yang kukuh dan telah lama menelusuri pancaroba politik tanah air.

"Kerana itu kita mencabar PAS Kedah supaya menyatakan pendirian mereka terhadap ugutan dan kata dua Dr. Mahathir yang melucukan ini. Jika tidak mampu berdepan parti baru itu, bagaimana PAS mahu mencabar BN?", kata Shaiful Hazizy kepada Kedahnews.com, di sini, hari ini.

Kata beliau, PAS sebagai sebuah parti yang sudah lama terbina, stabil dan berpengalaman menghadapi Mahathir sebelum ini sudah sekian lama berdepan dengan gaya politik Pengerusi PPBM yang mereka label sebagai "Maha Firaun" dan bersifat "kuku besi".

Justeru itu katanya, tindakan PAS Kedah yang bersekongkol dengan anak bekas "diktator" itu, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, juga boleh dianggap memalukan serta mendahului pendirian PAS Pusat yang kekal dengan pendirian mempertahan Gagasan Sejahtera berbanding Pakatan Harapan.

"PAS sebelum ini begitu vokal menghentam kepimpinan Dr Mahathir. Pelbagai gelaran diberi membayangkan sikap Mahathir ketika bergelar Perdana Menteri dulu. Kenapa kini PAS Kedah seolah memalukan diri sendiri dan mendahului pendirian PAS Pusat?

"Apakah PAS Kedah terpengaruh dengan Mukhriz? PAS Kedah dulu pun menyerang Mukhriz di pelbagai sudut. Dan kini mereka bersekongkol semata-mata kerana mengejar kuasa? Tidakkah mereka berpegang pada prinsip sebagaimana pendirian PAS Pusat?

"PAS Kedah seharusnya kembali mengimbau tindakan Dr Mahathir yang secara nyata memberikan sokongan terhadap DAP dan agenda chauvinisnya terang-terangan bertentangan dengan prinsip asas perjuangan mereka.

Dr Mahathir sebelum ini memberi tempoh selama sebulan kepada PAS untuk membuat keputusan supaya bekerjasama dengan Pakatan Harapan atau parti Islam itu perlu berdepan untuk "disingkirkan" dalam kerjasama dengan PPBM, DAP, PKR dan PAN.

Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah semalam sekali lagi menegaskan bahawa konsisten enggan bekerjasama dengan Pakatan Harapan dan menjelaskan bahawa parti Islam itu belum membuat keputusan berhubung kerjasama dengan PPBM.

Sementara itu, Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS Pusat, Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali at-Takiri dalam satu kenyataannya adalah amat bahaya sekiranya DAP yang menjadi rakan sekutu kuat PPBM menjadi sebahagian dari kerajaan di negara ini. - Kedahnews.com

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com