PAS Beri Amaran, Politik DAP Bahaya Untuk Negara


ALOR SETAR - PAS mengingatkan rakyat Malaysia bahawa DAP adalah 10 kali ganda lebih buruk dari UMNO sekiranya diberi peluang untuk berkuasa dan memerintah negara ini.

Ketua Pemuda PAS, Nik Mohammad Abduh Nik Abdul Aziz berkata, gaya politik DAP merupakan satu ancaman dan akan hanya menghancurkan negara ini sekiranya rakyat terus alpa dengan permainan politik parti berkenaan.

"PAS mengingatkan rakyat bahawa politik DAP adalah bahaya untuk negara.

"Rosak negara adalah kerana UMNO membangunkan negara dengan tiang-tiang sekular sejak lama. Akhirnya ia merapuh dan dimakan anai-anai.

"DAP datang dengan tiang-tiang baru dengan tahap sekular yang berganda sepuluh. Ia jelas akan menambahkan kehancuran negara dalam kealpaan rakyatnya nanti. PAN adalah contoh awal kealpaan yang nyata. Amat malang," kata beliau dalam satu kenyataannya, hari ini.

Nik Mohammad Abduh membuat perbandingan tersebut dalam satu tulisannya di laman rasmi Facebooknya yang bertajuk, "Mana Bahaya, UMNO atau DAP?", bagi menjawab persoalan tentang pendirian PAS terhadap DAP dan UMNO.

Sehubungan itu, beliau turut mengingatkan Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) supaya tidak terjangkit dengan Parti Amanah Negara (PAN) yang disifatkan sebagai "mabuk" politik DAP.

"Lebih malang adalah rakan lama dalam perjuangan, IKRAM. Semoga Allah memilih yang terbaik daripada kalangan rakan-rakan dalam IKRAM untuk segera menyedari kesilapan dan memadamkannya. Jangan mabuk politik DAP macam PAN. Mabuk laut tak apa," ujarnya.

Mengulas mengenai hubungan PAS dengan UMNO, Ketua Pemuda PAS itu menjelaskan bahawa UMNO tetap merupakan musuh politik tradisi PAS dan kedua-dua parti itu pasti akan berentap pada setiap pilihan raya umum di negara ini.

"Walau baik mana sekali pun UMNO terhadap PAS, PAS akan kekal bersendirian melawan UMNO. UMNO adalah musuh tradisi PAS dalam politik.

"Jika UMNO ikhlas berbuat baik, itu hak dan kewajiban semua untuk berbuat baik," tulisnya lagi. -Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com