PAN Gesa Presiden PAS Jangan Halang Pembangkang


ALOR SETAR – Parti Amanah Negara (PAN) menggesa Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang agar tidak menghalang pembangkang daripada mendapat kuasa pemerintahan negara ini dari kerajaan sedia ada, Barisan Nasional (BN).

Setiausaha Organisasi PAN, Suhaizan Kayat berkata, beliau tidak peduli sama ada PAS enggan menjalin kerjasama dengan Pakatan Harapan atau tidak, namun pihaknya komited untuk melakukan kerja-kerja yang mampu membawa perubahan kepada landskap politik negara.

“Tok Guru, kalau tidak mahu bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), PAN, DAP, dan PKR, tidak mengapa.

“Kami hormat pandangan Tok Guru. Tapi mohon janganlah halang kami barisan pembangkang nak buat perubahan dalam negara,” katanya dalam kenyataan baru-baru ini.

Suhaizan mendakwa, rakyat akan mendapat kelebihan sekiranya Pakatan Harapan mendapat kuasa dengan memenangi pilihan raya umum nanti dan sebaliknya rakyat akan merana jika Pakatan Harapan gagal untuk berkuasa di negara ini kelak.

“Jika BN menang, rakyat juga yang akan merana. Saya yakin tentu PAS tidak mahu rakyat menderita,” katanya, yakin dengan kemampuan merampas kuasa dan tampuk pemerintahan negara tanpa PAS.

Sebelum ini, Pengerusi PPBM telah memberi tempoh selama sebulan kepada PAS untuk membuat keputusan sama ada mahu atau tidak menjalin kerjasama bersama parti tersebut dan pakatan pembangkang.

Walau bagaimanapun, PAS menolak tempoh yang diberikan itu, malah menegaskan bahawa parti itu mampu bergerak bersama Gagasan Sejahtera untuk mencapai matlamat dan perjuangan PAS.

PAS sebelum itu memperkenal slogan politik baru, "politik matang dan sejahtera" yang mengembalikan perjuangan asal PAS yang bermatlamat mendapatkan redha Allah, sebaliknya tidak mengejar kuasa politik seperti Pakatan Harapan. -Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com