OKU Menangis Terharu Dikunjungi Awie Secara "Suprise"


HASRAT seorang lelaki kelainan upaya (OKU), Nabil Rosli yang mengimpikan bertemu dengan idola pujaannya, iaitu penyanyi rock terkenal, Datuk Awie akhirnya menjadi kenyataan, kelmarin.

Impian lelaki berusia 22 tahun ini tertunai selepas vokalis kumpulan Wings ini mengadakan kunjungan secara rahsia di tempat kerjanya di restoran McDonalds di Puncak Alam, Selangor.

Nabil yang menghidap penyakit Cerebral Palsy nyata terkejut dan terkedu sehingga mengalirkan air mata apabila dapat memeluk idola kesayangannya itu.


Dalam pertemuan kira-kira jam 7 malam itu, Awie sempat mengajak Nabil menyanyi bersama-sama lagu Terima Kasih dan Tragedi Oktober.

Selain itu, Awie turut memberikan nasihat dan kata-kata semangat serta meminta Nabil berusaha keras supaya dapat mewakili negara dalam Sukan Paralimpik akan datang.

Nabil merupakan atlet paralimpik negara dalam sukan olahraga dan futsal.

“Tak sangka abang Awie peluk Nabil. Nabil akan ingat pesan abang Awie sampai bila-bila. Nabil berjanji akan berlatih bersungguh-sungguh untuk melayakkan diri ke Sukan Paralimpik 2020,” kata Nabil.


Sementara itu, ibu Nabil, Siti Khadijah Hashim memberitahu, dia lega impian anaknya tertunai kerana sebelum ini anaknya sering kali bertanya, “Bila agaknya dapat peluang jumpa Awie?”

“Saya ingatkan dia sombong. Saya tak sangka Datuk Awie sangat peramah, penyayang dan merendah diri. Lega rasanya kerana selepas ini Nabil tak perlu bertanyakan bila nak jumpa Awie,” luah Siti.

Semasa pertemuan singkat itu, Awie yang ditemani pengurusnya, Gavin Singh turut menceriakan staf McDonalds yang lain, selain merakamkan gambar swafoto dan sesi tanda tangan.

Impian Nabil mahu bertemu Awie menjadi viral selepas sebuah portal, Agenda Daily membuat liputan mengenai Nabil pada Mei tahun lalu. –Kedahnews.com

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com