AddThis

Nik Abduh Dakwa DAP Musuh Agama, Bangsa Dan Negara?


Sesebuah negara atau tamadun manusia ada kisah mula dan akhirnya. Ada sebab ia berkembang maju dan ada sebabnya ia jatuh dan runtuh. Semuanya disimpan di dalam lipatan sejarah sebagai pelajaran dan pengajaran buat manusia yang datang selepasnya.

Di dalam al Quran Allah menceritakan kehancuran kerajaan-kerajaan besar seperti kaum 'Aad, Thamud, Ashabu Madyan dan kerajaan Firaun di Mesir. Ketika kerajaan-kerajaan tersebut runtuh, mereka hidup penuh kekuatan dan kemewahan. Ertinya, mereka hancur bukan kerana kemiskinan dan kemelaratan hidup. Tetapi kerana sebab lain yang mungkin di luar kajian dan kesepakatan manusia hari ini. Mereka dihancurkan kerana mereka memusuhi Allah dan rasul-Nya.

Kita sering berbahas panjang tentang kemiskinan dan teruknya kedudukan ekonomi sesebuah negara. Kita sering jadikannya sebagai kayu ukur kebangunan dan kemakmuran sesebuah negara. Apabila negara dihimpit oleh kemurungan ekonomi akibat salah laku pemerintah atau sebab-sebab lain, maka kita secara mudah menganggap negara sedang di ambang kehancuran.

Apabila ada yang mengingatkan tentang ugama dan murka Allah sebagai sebab utama kehancuran sesebuah negara, ramai yang berpaling dan menolaknya, malah menganggap ia sebagai mengarut dan mengada-ngada. Bagi mereka, redha Allah adalah pada kemakmuran ekonomi manakala murka Allah adalah pada kesempitan ekonomi.

Negara kita sekarang sememangnya sakit kehidupan rakyatnya. Kenaikan harga barang dan sempitnya pintu rezeki rakyat begitu menghimpit kehidupan. Sudah pasti pihak kerajaan dan parti pemerintah menjadi punca utama keadaan ini. Polisi dan tindakan kerajaan yang lemah dan salah telah meletakkan negara dalam keadaan tidak stabil dan sering terlucut daripada kawalan dan pemanduan yang betul.

Sekarang kita harus bertanya, adakah kerosakan negara kita yang mungkin akan semakin teruk adalah disebabkan oleh kemelaratan hidup atau oleh kejahatan pemerintah? Sudah pasti jawabannya adalah kerana pemerintah. Kemelaratan hidup adalah kesan yang dirasai oleh rakyat teramai. Tindakan pemerintah yang zalimlah yang telah memudaratkan negara.

Wujudkah kemurkaan Allah di sini? Jawabannya ya. Allah memurkai pemerintah yang gagal menunaikan amanah pemerintahan dan kekuasaan yang dikurniakanNya. Unsur rasuah, pembaziran, salah guna kuasa, pilih kasih, penganiayaan, pengabaian terhadap fakir miskin dan sebagainya adalah punca-punca pengabaian terhadap perintah Allah yang menarik kemurkaanNya.

Kesalahan-kesalahan berulang sejak lama oleh pemerintah ini jika tidak dihalang sudah pasti akan terus menarik kemurkaan Allah. Kemurkaan Allah pasti akan berakhir dengan hukuman yang lebih berat. Ia bukan sekadar kemelaratan ekonomi, bahkan kemelaratan kemanusiaan itu sendiri. Manusia akan meninggalkan ugama dan hidup seperti binatang yang merajakan nafsu dan kehilangan manusiawi dan ugama. Saat itu tiada erti lagi kehidupan yang didamba.

Kerana itulah para ulamak yang benar dan ikhlas sering mengingatkan pihak pemerintah agar bertaqwa dan berlaku adil kepada rakyat. Suara dan seruan kepada Allah sentiasa diulang-ulang agar peringatan besar ini tidak hilang dan lenyap di tengah-tengah kemarahan dan ketidakpuasan hati rakyat terhadap kerajaan.

Anda telah menemukan jawaban bahawa kesempitan ekonomi dan kehidupan negara hari ini adalah berpunca daripada pengabaian terhadap perintah Allah agar negara ini ditadbir dengan prinsip taqwa dan keadilan sesama manusia. Justeru anda melihat Islam dan para pejuangnya begitu konsisten memberi peringatan kepada rakyat dan pemerintah agar mengislahkan negara menuju jalan yang lebih mendekati redha Allah.

Saya ajukan kepada anda satu soalan penting. Bagaimana reaksi anda terhadap penyelesaian isu-isu negara tanpa mengambil kira soal kemurkaan Allah? Di negara kita, ada golongan yang melihat bahawa kemiskinan adalah punca keruntuhan negara yang disebabkan oleh pemerintah yang gagal mentadbir dengan betul. Kekuatan ekonomi menjadi kayu ukur kejayaan sesebuah negara. Bagi mereka, unsur redha dan murka Allah hanyalah sekadar mainan bibir bagi menarik hati rakyat yang beragama untuk menyokong mereka menjatuhkan pihak pemerintah.

Bagi mereka, sebagai contoh, walaupun riba adalah aktiviti ekonomi dan kewangan yang dimurkai Allah, selama mana ia mendatangkan kerancakan kepada ekonomi negara, maka ia harus diterima dan dikembangkan. Begitu juga, jika aktiviti judi dan pelacuran diurus secara baik dan profesional, lalu membantu ekonomi negara, maka ia haruskan dibenarkan.

Golongan ini akan segera menolak ajakan-ajakan kepada syariah Islam dan hukum-hukum agama yang disifatkan menyekat kebebasan dan hak-hak manusia untuk bebas membuat keputusan sendiri untuk diri sendiri dan masyarakat tanpa ikatan agama. Bagi mereka, agama mestilah dihalang mencampuri urusan negara. Agama bukanlah panduan yang praktikal dan sesuai untuk memajukan sebuah negara moden hari ini.

Apa reaksi anda? Tanpa menanti jawaban, saya ingin tegaskan bahawa inilah kemelut yang melanda negara kita hari ini. Kita sebenarnya bukan hanya berhadapan dengan krisis kemelaratan ekonomi dan kesempitan hidup rakyat sahaja. Bahkan krisis yang turut melanda ialah bagaimana melihat kepada penyelesaian sebenar isu-isu negara. Adakah dengan hanya menukar kerajaan lama, maka ia mencukupi untuk masa depan negara yang lebih baik?

PAS mengingatkan rakyat bahawa kehancuran negara adalah kerana negara itu menjemput kemurkaan Allah. Apabila kemurkaanNya memuncak dengan kehendakNya, Allah pasti menghancurkan negara tersebut dengan seburuk-buruk kehancuran. Ia bukan lagi dengan menghancurkan ekonominya, bahkan ia membawa kepada fitnah terhadap agama dan iman. Rakyat akan sanggup mencari sesuap nasi dan keselesaan hidup walaupun terpaksa menggadai agama mereka sendiri. Adakah lagi kehancuran manusia yang lebih buruk daripada itu?

Justeru PAS menyeru rakyat agar menolak sebarang penyelesaian yang menolak pesanan-pesanan agama. PAS menolak mereka yang bermusuh dengan Allah, Rasul dan agamaNya. Ia hanya ajakan meninggalkan kemurkaanNya menuju kemurkaanNya yang baru. Ia kerja sia-sia yang membazirkan masa dan usaha menuju kehidupan yang diredhai Allah.

Jika anda bertanya, mengapa PAS menolak DAP dan mereka yang bersamanya, maka jawabannya adalah selaras dengan apa yang dijelaskan di atas. DAP menolak penyelesaian agama untuk negara. Bukan hanya untuk negara, DAP berani menolak dan menentang kehendak umat Islam untuk berubat dan mencari penyelesaian dengan agama Islam mereka sendiri. Ia adalah permusuhan yang nyata terhadap Allah dan agamaNya. Justeru PAS mengingatkan rakyat Malaysia agar menolak penyelesaian cara DAP.

Islam adalah agama yang sempurna. Kecacatan umat adalah kerana jauhnya mereka daripada panduan agamanya yang sempurna. Adalah satu yang amat jelas mengapa umat Islam harus kembali kepada agamanya sendiri. Justeru adalah suatu yang amat nyata bahawa berjuang menegakkan agamaNya adalah satu kemuliaan yang tertinggi.

Ketua Pemuda PAS
Nik Mohammad Abduh Nik Abdul Aziz

Sumber: HARAKAHDAILY

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com