Myanmar Buka Semula Pintu Sempadan Dengan Bangladesh


YANGON – Myanmar membuka semula pintu No 1 bersempadan dengan Bangladesh yang ditutup sementara susulan serangan keganasan di tiga pos kawalan sempadan pada 9 Oktober tahun lepas, menurut Pejabat Kaunselor Negara pada Khamis lapor agensi berita China Xinhua.

Pembukaan semula pintu sempadan membolehkan urusan keluar dan masuk di Maungtaw, Rakhine pada hujung minggu, memandangkan keamanan kembali pulih selepas rundingan antara Myanmar dan Bangladesh.

Penutupan pintu sempadan hampir empat bulan itu menyebabkan peniaga tempatan mengalami kesukaran dan masalah kewangan.

Suruhanjaya Siasatan Keganasan di Myanmar yang ditubuhkan pada 1 Disember dan diketuai oleh Naib Presiden U Myint Swe, bertujuan menyiasat latar belakang kejadian serangan keganasan, setakat ini telah melakukan pemeriksaan ke lokasi kejadian di Maungtaw sebanyak empat kali.

Serangan bersenjata di tiga pos kawalan sempadan iaitu Kyikanpyi (Maungtaw), Kotankauk (Buthedaung) dan pejabat Ngakhuya, menyebabkan lima anggota tentera dan lapan polis maut.

Dalam perkembangan terbaru, mahkamah daerah Sittway Myanmar telah menjatuhkan hukuman mati ke atas seorang daripada 14 suspek yang ditahan kerana terlibat dalam serangan keganasan di tiga pintu kawalan keselamatan itu.

Uruma yang juga dikenali dengan nama Mammud Nu dan Ular didakwa mengetuai serangan itu dan membunuh seorang pegawai polis serta mencederakan dua yang lain, ia merupakan hukuman pertama susulan insiden berkenaan.

Sementara 13 lagi suspek sedang disiasat. – BERNAMA

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com