Menang 4 - 1, Gol Baddrol Bakhtiar Suntik Semangat Helang Merah - TCH


ALOR SETAR - Ketua Jurulatih skuad Kedah, Tan Cheng Hoe menyifatkan gol tonggak pasukan, Baddrol Bakhtiar berjaya menyuntik semangat kepada pemainnya untuk tampil memberi aksi yang dianggap terbaik skuad itu setakat ini ketika menentang Pahang, semalam.

Cheng Hoe berkata, jaringan pada minit terakhir itu memberi lebih keyakinan kepada barisannya untuk beraksi lebih mantap sehingga mampu menjinakkan pendahulu Liga Super 4-1, sekali gus merampas persada liga daripada Pahang.

"Gol pertama itu mengubah segalanya. Ia berjaya menyemarak semangat pemain untuk beraksi lebih baik sehingga minit terakhir.

"Daripada tiga perlawanan sebelum ini, ini adalah perlawanan yang terbaik kerana pemain beraksi penuh tanggungjawab dan tidak banyak melakukan kesilapan hingga jaringan demi jaringan tercipta," katanya selepas perlawanan itu.

Cheng Hoe berkata walaupun berdepan banyak serangan Pahang pada babak pertama, pemainnya berjaya mengekangnya dengan baik apabila dapat menguasai padang dan permainan.

Dalam perlawanan di Stadium Darul Aman itu, Kedah menang menerusi jaringan Baddrol pada minit ke-45, sebelum pemain import dari Denmark, Ken Ilso Larsen menggandakan jaringan pada minit ke-66, diikuti jaringan Muhammad Farhan Roslan (m74).

Sementara itu, Pahang mengurangkan defisit menerusi pemain import dari Brazil, Matheus Alves Leandro pada minit ke-89, namun Larsen sekali lagi menghukum kesilapan benteng pertahanan pelawat menerusi jaringan keduanya, seminit kemudian.

Kemenangan itu membolehkan Kedah menerajui liga dengan lapan mata daripada empat perlawanan, memintas Pahang yang bersama Perak dan T-Team terikat dengan tujuh mata.

Dalam pada itu, Cheng Hoe turut berharap anak buahnya dapat mengekalkan rentak permainan itu apabila berdepan Kuala Lumpur di laman sendiri dalam saingan Piala FA, Selasa ini.

"Saya harap pemain terus konsisten dengan prestasi cemerlang yang ditunjukkan malam ini (tadi), jika kita leka pihak lawan akan menguasai kita, itu saja," ujarnya lagi.

Sementara itu, jurulatih Pahang, Dollah Salleh menyifatkan perlawanan malam tadi sebagai 'sejarah hitam' buat pasukannya.

"Saya minta pemain lupakan 'sejarah hitam' ini dan bangkit semula selepas ini. Saya tidak menyalahkan penjaga gol tetapi kesilapan banyak berlaku di bahagian serangan dan tengah yang lambat turun mengekang asakan Kedah.

"Kebanyakan pemain saya hilang fokus terutama pada separuh masa kedua," akuinya. - Bernama

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com