AddThis

Manfaatkanlah Setiap Detik Jika Terjaga Di Tengah Malam


“ADAKAH kamu pernah terjaga pada tengah malam? Mungkin kerana bermimpi, terdengar bunyi bising atau apa sahaja yang menyebabkan kamu tersedar.

“Dalam situasi seumpama itu, kebanyakan manusia akan terjaga untuk seketika iaitu dalam beberapa saat. Setelah melihat sekeliling dan memastikan semuanya berada dalam keadaan selamat, kita pasti akan meneruskan tidur yang terganggu itu semula,” demikian pembuka bicara penceramah terkenal, Majed Mahmoud.

Katanya, amalan kebiasaan dilakukan pada zaman ini apabila terjaga adalah mencapai telefon pintar terlebih dahulu bagi melihat notifikasi baharu yang terpapar di telefon tersebut.

Selepas selesai melihat telefon, mereka kembali meneruskan tidur yang terganggu tanpa memanfaatkan peluang yang telah diberikan Allah kepada mereka untuk berdoa memohon keampunan.

Beliau yang merupakan anak kelahiran Arab Saudi dan kemudian berhijrah ke Kanada bagi menjalankan usaha dakwah berkata, terdapat amalan ringkas yang diajarkan oleh Nabi Muhammad SAW kepada umatnya apabila terjaga seketika pada tengah malam.

Majed berkata, dia sangat berharap agar amalan mudah tersebut dapat diamalkan dan dijadikan sebagai suatu amalan kebiasaan dalam kehidupan umat Islam.

“Saya yakin amalan ini bukan suatu yang sukar untuk dilaksanakan. Ia sebenarnya sangat bermanfaat,” katanya.

Rasulullah SAW bersabda:
“Sesiapa yang terjaga di tengah malam dan mengucapkan, tiada yang aku sembah melainkan Allah. Dia yang satu dan tiada sekutu bagi-Nya, Bagi-Nya seluruh kerajaan, bagi-Nya segala pujian serta Dia berupaya melakukan segalanya dan apa jua perkara. Segala kemuliaan bagi Allah, segala puji bagi-Nya dan tiada tuhan yang disembah melainkan Allah, Allah Maha Kuasa terhadap segalanya serta tiada yang berkuasa melainkan Allah,” - Riwayat Bukhari.
Menurut Majed, siapa yang membaca doa tersebut ketika dia terjaga pada tengah malam dan kemudiannya mengucapkan ‘Ya Allah ampunkan dosa aku’, maka Nabi menyatakan bahawa Allah akan menerima doa tersebut, selain Allah juga akan mengampunkan dosa-dosanya.

“Mungkin kita sebagai hamba Allah telah melampaui batas dengan melanggar apa yang telah ditetapkan-Nya pada hari tersebut dan mungkin juga telah melakukan dosa sebelum tidur.

“Dengan hanya mengucapkan doa pendek itu dan diikuti dengan doa, semoga Allah mengampunkan segala dosa yang telah dilakukan, maka kita telah dijanjikan keampunan dengan izin Allah,” katanya.

Malah tambahnya, sekiranya kita memilih untuk membaca mana-mana pilihan doa, Allah tetap akan menerimanya dan membalasnya kerana Allah Maha Berkuasa.

“Jika kamu ingin meneruskan langkah seterusnya iaitu langkah ketiga, kamu ambil wuduk dan kemudian menunaikan solat, maka Allah akan menerima solat kamu itu.

“Apa lagi yang lebih cantik daripada mengetahui bahawa Allah menerima segala amalan baik yang dilakukan oleh kamu? Allah Maha Besar. Oleh yang demikian saudara Islamku, apabila kamu terjaga pada tengah malam maka laksanakanlah doa yang minimum tersebut,” katanya.

Apa pun juga doa kita, Allah telah berjanji untuk memperkenankannya. Ini adalah peluang bagaimana Allah menunjukkan sifat kasih-Nya kepada kita.

Begitu juga peluang kepada kita untuk membuktikan betapa kita mencintai Allah SWT. Biarpun hanya seketika terjaga di tengah malam kerana tidak selesa dengan tidur dan mencari masa untuk kembali tidur, kita masih mengingati diri-Nya.

Ucapkanlah:

“Tiada Tuhan melainkan Allah, tiada sekutu buat-Mu, seluruh alam milik-Mu ya Allah dan Kamu berhak untuk menerima segala pujian, Kamu boleh melakukan apa sahaja yang dimahukan, segala kemuliaan buat-Mu, Kamu Yang Maha Kuasa, tiada yang berkuasa kecuali Mu ya Allah, oh Allah, ampuni dosa aku.”
“Kamu dapat lihat betapa cantik dan bermaknanya walaupun kecil amalan tersebut dalam Islam. Saya berharap Allah dapat mengingatkan kita semua untuk mengamalkan doa terbaik ini,” katanya.

Sumber: Utusan

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com