Low Peak Gunung Kinabalu Membeku Jadi Kepingan Ais

Seorang pendaki bersama kepingan ais beku di puncak Kinabalu baru-baru ini.
KOTA KINABALU - Pendaki ke puncak Gunung Kinabalu ketika ini berpeluang melihat sebahagian Low Peak membeku susulan suhu sekitar Sabah yang menjunam kebelakangan ini.

Malahan, permukaan pada kolam berdekatan puncak gunung itu juga membeku seperti mana tanah tinggi di Asia Tenggara lain kesan tiupan angin sejuk dari Siberia.

Presiden Persatuan Malim Gunung Kinabalu, Richard Soibi berkata, situasi yang dialami ketika ini dianggap sebagai sesuatu yang berbeza.

"Cuaca sejuknya berbeza sekali tetapi ia tidak mengganggu aktiviti pendakian ke puncak gunung," katanya.

Pengurus Taman Kinabalu Sabah, Yassin Miki berkata, suhu di gunung itu pernah mencecah di bawah paras sifar Celsius.

"Keadaan air membeku menjadi ais adalah satu fenomena kerana kedudukan kita di tengah Asia Tenggara yang sentias panas dan lembap," katanya.

Katanya, petugas termasuk renjer Taman Sabah, malim dan pengangkat barang untuk pendaki bagaimanapun telah biasa dengan keadaan itu.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Perkhidmatan Meteorologikal Sabah, Azemi Daud berkata, kesejukan melampau dapat dirasai antara pukul 5 pagi dan 7 pagi pada Rabu.

Beliau berkata, Februari adalah antara bulan paling sejuk di negara ini kerana monsun timur laut yang dijangka tamat pada akhir Mac.

Daerah Ranau yang terletak di kaki Gunung Kinabalu merekodkan suhu terendah iaitu 15 darjah Celsius, Keningau (16 darjah Celsius), Kudat (20 darjah Celsius) dan Kota Kinabalu (21 darjah Celsius).

Sumber: mStar

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com