Lawatan Raja Saudi Ke Malaysia Bakal Beri Impak Besar


PUTRAJAYA – Lawatan rasmi Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al-Saud ke Malaysia tidak lama lagi akan memberi impak besar dan membuka pelbagai peluang untuk rakyat Malaysia, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan.

Lawatan Raja Arab Saudi itu adalah antara perkara yang dibincangkan Abdul Rahman dalam pertemuannya dengan Menteri Tenaga, Industri dan Sumber Asli Arab Saudi, Khalid A. Al-Falih di Riyadh, Arab Saudi, semalam.

“Perancangan rapi bersama Kementerian Luar Negeri sedang dilakukan bagi memastikan lawatan yang akan diadakan nanti berjalan lancar,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Abdul Rahman berada di Riyadh bagi menghadiri persidangan International Energy Agency, International Energy Forum & Organization of the Petroleum Exporting Countries Symposium ke-7 yang turut dihadiri pemimpin-pemimpin dunia dan pakar-pakar dalam bidang tenaga, minyak dan gas. .

Abdul Rahman berkata pertemuannya dengan Khalid A. Al-Falih adalah bagi mengukuhkan lagi hubungan dua hala, perdagangan dan perancangan ekonomi kedua-dua negara. – BERNAMA

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com