Kisah Pilu Di Yan: Demi Kasihkan Anak Isteri...

Mohamad Hashim bersama isterinya.
YAN - Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Demikian menggambarkan kisah hidup seorang suami yang tabah menjaga isteri sakit dan anak tunggal OKU.

Mohamad Hashim Hat, 49, berkata, isterinya, Zarina Saari, 44, yang menghidap kencing manis dan masalah buah pinggang terpaksa menggunakan kerusi roda setelah kaki kanannya dipotong enam tahun lalu.

Menurutnya, pergerakan yang terbatas menyebabkan dia perlu membantu isterinya dalam urusan harian termasuk mandi dan menyediakan makan minum, tambahan pula isterinya hanya dapat melihat dengan menggunakan sebelah mata disebabkan tahap bacaan kencing manis yang tinggi.

“Bermula dari pagi, saya perlu memandikan, memakaikan baju dan menyediakan sarapan sebelum keluar bekerja. Anak tunggal kami pula (Mohd Farhan Irfan, 10) merupakan pemegang kad OKU dan menerima bantuan JKM (Jabatan Kebajikan Masyarakat) RM150 sebulan.

"Alhamdulillah keperluan anak cukup, cuma saya sedikit terbeban sebab perlu berulang ke Hospital Sultanah Bahiyah sebulan sekali bagi dapatkan rawatan untuk isteri,” katanya.

Menurut Mohamad Hashim, disebabkan perlu menjaga anak dan isteri, dia kini hanya mengambil upah membaiki rumah, mesin rumput dan sebagainya yang tidak terikat dengan waktu bekerja.

“Saya tak boleh bekerja ikut masa ditetapkan sebab perlu urus isteri yang tak mampu bergerak sendiri. Anak saya pula seorang hiperaktif dan sering mengamuk dengan merosakkan barang di dalam rumah. Jika keluarga bekerja, saya perlu pulang sekerap mungkin untuk tengok keadaan isteri dan anak," katanya.

Mohamad Hashim berkata, dia perlu memperuntukkan hampir RM500 sebulan untuk kos tambang teksi, sedangkan isterinya hanya menerima bantuan JKM berjumlah RM300 sebulan.

Dia juga buntu apabila memikirkan sewa rumah yang tertunggak selama dua bulan.

“Saya reda dengan ketentuan ALLAH, tetapi saya buntu memikirkan cara untuk mendapatkan wang bagi menampung perbelanjaan.

“Saya perlu sewa teksi setiap kali nak ke hospital dengan kos pergi balik RM100. Isteri saya juga perlu jalani rawatan dialisis tiga kali seminggu di Hospital Yan dengan kos pergi balik RM30," katanya.

Orang ramai boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Agro Bank 2005111000107707 atas nama Mohamad Hashim Hat.

Sumber: Sinar Harian

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com