Kerjasama Politik UMNO-PAS Di Kedah Tak Perlu Jadi Fokus Utama - Pemuda


ALOR SETAR - Badan Perhubungan UMNO Negeri Kedah diminta supaya tidak menjadikan agenda kerjasama di antara UMNO dan PAS sebagai agenda utama parti itu pada masa ini, sebaliknya lebih fokus kepada melangsaikan semua saki baki akujanji PRU ke-13 yang lalu.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Negeri, Dato' Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata, UMNO selaku tunjang kepada Kerajaan Negeri lebih wajar untuk memberi khidmat terbaik kepada rakyat sebagai menghargai mandat yang diberi sebelum ini.

"Pemuda UMNO Kedah menyarankan agar agenda kerjasama politik diantara PAS dan UMNO bukan lah keutamaan yg perlu ditumpukan oleh UMNO pada masa ini.

"Apa yg perlu di tumpukan pada masa ini adalah menyelesaikan aku janji pilihanraya dan memperkemaskan gerak kerja jentera diperingkat parti dan bukannya mengharapkan kemenangan hasil drpd kelemahan dan perpecahan pihak lawan.

"Pemuda UMNO Kedah yakin UMNO sebagai sebuah kerajaan perlu membuat kerja-kerja "mentadbir" serta memberi penumpuan penuh kepada rakyat.

"Pada pilihanraya yang lalu rakyat memberi mandat dan kepercayaan kepada UMNO dan rakyat yakin UMNO dan Barisan Nasional mampu menggalas tanggungjawab mereka sebagai sebuah kerajaan," katanya kepada Kedahnews.com, di sini, hari ini.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah sebelum ini menyatakan kesediaan UMNO Negeri untuk membantu kerjasama baik yang terjalin di antara UMNO dan PAS di peringkat pusat.

Namun begitu, Pesuruhjaya PAS Negeri Kedah, Dr Ahmad Fakhruddin Syeikh Fakhrurazi menolak kerjasama politik dengan UMNO dan menyifatkan kesediaan Ahmad Bashah itu sebagai satu "muslihat politik" yang licik.

Selain itu, Shaiful Hazizy juga meminta semua ahli UMNO supaya tidak terbawa-bawa dengan kerjasama yang belum pasti, sebaliknya memberi tumpuan penuh kepada persediaan parti bagi menghadapi PRU ke-14 yang dikatakan bakal berlangsung tidak lama lagi.

Katanya, sekiranya berlaku kerjasama di antara UMNO dan PAS di negeri ini, maka ia adalah menjadi "bonus" bagi kepentingan agama dan bangsa Melayu.

"Kerjasama politik yang mungkin bakal terjadi boleh di anggap sebagai "bonus politik" dan bukannya sebagai agenda tetap parti bagi menghadapi PRU yang akan datang.

"Namun Pemuda UMNO Kedah menyedari bahawa telah wujud satu kematangan politik yg tinggi di antara kedua-dua parti.

"Konsep kerjasama tidak perlu semata-mata ditakrifkan drpd ruang lingkup politik tetapi ianya melibatkan keperluan dan persefahaman yg bersifat "ummah".

"Perjuangan memperkasa mahkamah syariah (RUU 355) dan misi kemanusiaan adalah satu permulaan yg baik dan wajar diteruskan," katanya lagi. - Kedahnews.com

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com