Kerajaan Perhebat Penerangan Kepada Penjawat Awam


KOTA BHARU – Kerajaan Persekutuan akan memperhebat sesi penerangan terutama mengenai kedudukan semasa kewangan kerajaan kepada penjawat awam.

Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Negeri Kelantan (MTPNK) Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata sesi itu penting bagi menangkis persepsi negatif yang ditimbulkan pihak tidak bertanggungjawab berkaitan kedudukan kewangan kerajaan.

“Isu kekangan peruntukan ini harus diberi penerangan kerana kita tak mahu penjawat awam kata kerajaan tak mampu uruskan negara kerana kerajaan tak ada duit. Kerajaan perlu beri penerangan kerana kita ambil langkah penjimatan.

“Mungkin ada penjawat awam kurang puas hati tak dapat buat beberapa program.

Semua negara hadapi (ketidakseimbangan ekonomi) tapi kita bersyukur kerana defisit 3.1 peratus KDNK (Keluaran Dalam Negara Kasar) masih dapat dipertahankan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri sesi ramah mesra bersama kepimpinan tertinggi Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan yang turut dihadiri pengarahnya, Jaafar Ismail di Tunjong di sini, semalam.

Mengulas lanjut, Mustapa yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata walaupun kerajaan mengamalkan perbelanjaan berhemah, pelbagai bantuan dalam sektor pendidikan terutama bagi membantu golongan kurang berkemampuan masih diteruskan.

Beliau berkata antara bantuan yang masih dilaksanakan sejak sekian lama termasuklah Bantuan Awal Persekolahan, Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAPM) dan Rancangan Makanan Tambahan (RMT). – BERNAMA

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com