AddThis

Kedah Teliti Kertas Kerja Bina Stadium Baru Luar Alor Setar


ALOR SETAR – Kerajaan Negeri Kedah yang bercadang membina sebuah stadium bola sepak baru telah menerima beberapa kertas kerja dari syarikat swasta dinilai bagi menjayakan perancangan masa depan sukan kegemaran nombor satu rakyat di negeri ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata, kertas-kertas kerja yang telah diterima itu adalah merangkumi rekabentuk kompleks yang mengikut kesesuaian dan kos yang perlu dinilai sebelum dimuktamadkan.

Jelas beliau, Kedah sememangnya memerlukan sebuah stadium baru yang berkapasiti lebih 60,000 penonton yang akan dibina di luar bandar raya ini bagi menampung jumlah kehadiran penonton yang semakin meningkat di Stadium Darulaman ketika ini.

“Kita nak usaha pembinaan stadium baharu secepat mungkin di luar kawasan bandar raya Alor Setar supaya semangat pasukan disemarakkan lagi serta memberi keselesaan kepada peminat dan penyokong,” katanya.


Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan ke atas pemain dan pegawai pasukan Hijau Kuning Kedah yang menjalani latihan di padang bola sepak Peremba di sini, semalam.

Menteri Besar Kedah itu berkata, pihak Kerajaan Negeri juga mengalu-alukan dan mahu lebih ramai penglibatan pihak swasta dalam projek stadium yang dirancang untuk dibina di luar kawasan Alor Setar ini agar dapat disegerakan.

"Kita nak bina stadium baru ini di luar Alor Setar dan memerlukan kawasan yang luas kerana bukan sahaja stadium dibina, tetapi akan dilengkapi kemudahan pusat perniagaan, gerai makanan dan jualan serta pusat sukan, maka penglibatan pihak swasta kita alu-alukan," katanya lagi.

Beliau yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) berkata, stadium lama yang berkapasiti 30,000 penonton sudah tidak lagi mampu menampung jumlah penyokong terutama pada perlawanan-perlawanan tumpuan.


"Kita nak setiap daerah ada tarikan tersendiri, dan kita tidak mahu tertumpu di satu-satu daerah sahaja seperti Sungai Petani yang akan dibina litar lumba seperti diumumkan Perdana Menteri dalam lawatannya ke Kedah baru-baru ini," ujar beliau.

Sementara itu, Ahmad Bashah berharap agar skuad Helang Merah yang akan bertemu Kuala Lumpur pada saingan Piala FA di sini malam ini, akan mencapai kemenangan.

"Saya harap pemain dapat meneruskan momentum cemerlang mereka pada setiap kali perlawanan, penyokong pula teruskan memberi semangat kepada pasukan agar mencipta kemenangan," katanya memberi sokongan pada pasukan Hijau Kuning. – Kedahnews.com

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com