Kebakaran Merebak Teruk, Christchurch Isytihar Darurat


WELLINGTON – Bandar raya kedua terbesar New Zealand, Christchurch mengisytiharkan darurat pada Rabu ekoran kebakaran besar yang memaksa ratusan penduduk terpaksa meninggalkan kediaman masing-masing, lapor agensi berita China Xinhua.

Pengisytiharan darurat itu kali kedua dalam tempoh dua hari memandangkan kebakaran merebak ke wilayah timur Teluk Hawke di Pulau Utara dan Canterbury di Pulau Selatan.

Kira-kira 300 ke 400 penduduk Port Hills dipindahkan dan ratusan berpindah secara sukarela, menurut Majlis Bandaraya Christchurch.

Pengawai pertahanan awam Christchurch John Mackie berkata, keadaan darurat diisytiharkan di Christchurch dan daerah Selwyn di sekitar kawasan Canterbury.

Makckie berkata dalam kenyataan, anggota Angkatan Pertahanan New Zealand (NZDF) telah dikerahkan untuk membantu kerja-kerja memadam kebakaran.

Datuk Bandar Christchurch Lianne Dalziel berkata bandar raya itu perlu memastikan keselamatan dan kebajikan penduduk.

“Christchurch perlukan sokongan pelbagai agensi dan keadaan itu perlu diberikan perhatian serius. Kita perlu memanfaatkan semua sumber yang ada bagi meningkatkan keyakinan penduduk terhadap usaha dijalankan,” kata Dalziel dalam satu kenyataan. – BERNAMA

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com