Kapal Misi Flotilla Myanmar Hadapi Masalah Teknikal

Presiden Kelab Putera 1Malaysia (KP1M) Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim ketika sidang media di atas Kapal Nautica Aliya. - BERNAMA
PELABUHAN KLANG - Kapal 'Nautica Aliya' yang digunakan untuk misi kemanusian 'Food Flotilla For Myanmar' memulakan perjalanan pada Sabtu selepas mengalami masalah teknikal sehari sebelumnya.

Ketua misinya Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim berkata kapal berkenaan berpatah balik ke Pelabuhan Klang pada pukul 11 malam Jumaat apabila terdapat tali sepanjang 10 meter tersangkut pada kipas kapal.

"Tiga penyelam digunakan untuk memotong tali yang hampir memasuki bahagian enjin kapal...mereka mengambil masa hampir 10 jam untuk memotong tali itu.

"Kapal berlayar semula pada pukul 7 pagi Sabtu dan kini berada di Selat Melaka selain dijangka sampai di Pulau Jarak, Perak pada pukul 7 malam," katanya dalam sidang media di atas kapal itu.

Ditanya adakah kapal itu membawa muatan berlebihan Abdul Azeez berkata kapal berkenaan membawa muatan yang bersesuaian dan ianya selamat untuk berlayar.

Katanya kapal berkenaan membawa 2,300 tan metrik bekalan makanan dan ubat-ubatan selepas 500 tan metrik bekalan makanan ditambah ketika kapal itu berlabuh semula di Pelabuhan Klang.

"Kita telah tambah 500 tan metrik bekalan makanan ketika kerja memotong tali dibuat oleh penyelam," katanya sambil menambah perjalanan kapal Nautica Aliya di perairan negara diiringi kapal Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Selain itu, Abdul Azeez turut melahirkan rasa syukur kerana kerajaan Bangladesh akhirnya membenarkan misi menghantar bantuan ke negara itu.

"Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak juga yakin misi ini akan berjaya dan meminta sukarelawan supaya tidak risau, InsyaAllah semua akan berjalan lancar," katanya.

Misi yang membawa makanan, ubat-ubatan, keperluan harian, pakaian dan selimut dijangka belayar selama 18 hari melalui Laut Andaman untuk sampai ke Yangon serta kem pelarian di Bangladesh.

Misi 'Food Flotilla for Myanmar' adalah anjuran Kelab Putra 1Malaysia (KP1M) dan Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) dengan kerjasama Yayasan Turkiye Diyanet Vakfi (TDV) dari Turki.

Ia disertai kira-kira 195 sukarelawan dari 13 negara melibatkan pasukan perubatan, tenaga pengajar, pengamal media tempatan dan antarabangsa, serta wakil-wakil NGO tempatan dan luar negara. - BERNAMA

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com