AddThis

Indonesia Naikkan Kos Haji Akibat Harga Minyak Naik


JAKARTA  – Ketika bakal jemaah haji di Malaysia bersyukur kos menunaikan ibadah itu kekal, lain pula hal di Indonesia apabila pemerintah berhasrat untuk menaikkannya mulai musim tahun ini.

Menurut laporan akhbar berpengaruh KOMPAS di sini hari ini, caj untuk jemaah mengerjakan ibadah Rukun Islam kelima itu atau disebut sebagai Biaya Penyelenggaraan Ibadah Haji (BPIH) bakal dinaikkan sebanyak 3.1 peratus.

Ini bermakna kos BPIH bagi setiap jemaah Indonesia pada tahun ini akan menjadi 35,740,107 rupiah (kira-kira RM11,933) berbanding caj musim haji ketika tahun lalu yang hanya sekitar 34,641,304 rupiah (kira-kira RM11,566).

Untuk rekod, kos pelaksanaan ibadah haji di Malaysia pula cuma RM9,980 seorang dan ia tidak pernah dinaikkan sejak 10 tahun lalu meskipun kos sebenarnya meningkat daripada RM18,890 kepada RM19,550 mulai tahun ini.

Mengulas lanjut, pertambahan BPIH itu disebabkan kenaikan kadar tukaran dengan dolar Amerika Syarikat (AS), penambahan kuota jumlah jemaah dan kenaikan harga minyak yang mengakibatkan kos penerbangan melonjak.

“Masih lagi dalam pertimbangan namun disebabkan pertambahan bilangan jemaah, nilai tukaran mata wang asing dan harga bahan bakar, ia tidak dapat dielakkan,” kata Menteri Agama, Lukman Hakim Saifuddin di Parlimen.

Beliau menyatakan, cadangan kenaikan BPIH itu disambut positif oleh panel Suruhanjaya VIII Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) berikutan rasional peningkatan kos dianggap sebagai masih bersesuaian dan tetap berpatutan.

Lukman menambah, usul itu bagaimanapun akan dibahaskan secara teliti oleh pihak Panitia Kerja bersama-sama dengan anggota suruhanjaya tersebut dalam tempoh tiga minggu ke hadapan sebelum akhirnya dimuktamadkan.

Indonesia bakal menghantar 221,000 jemaah pada musim haji kali ini susulan penarikan balik kuota terhad yang dilaksanakan Arab Saudi sejak 2013 susulan projek pembesaran kompleks Masjidil Haram di tanah suci Makkah.

Dalam pada itu, Timbalan Ketua Suruhanjaya VIII, Sodik Mujhid berkata, kenaikan mendadak harga minyak untuk penerbangan menjadi faktor peningkatan BPIH kerana ia meliputi lebih 60 peratus kos perjalanan ibadah tersebut.

“Namun, pihak pemerintah boleh mencari alternatif seperti melobi syarikat minyak kebangsaan, Pertamina untuk memberi harga subsidi kepada syarikat penerbangan nasional, Garuda bagi mengangkut jemaah haji,” jelas beliau.

Pandangan wakil dari Parti Gerindra itu turut disokong salah seorang anggota Kumpulan Pengawas Haji DPR, Fahri Hamzah yang berpendapat Indonesia mungkin boleh belajar kejayaan Malaysia dalam mengelolakan urusan haji.

Ini termasuk menyegerakan pembentukan  Badan Pengelola Kewangan Haji (BPKH) mirip fungsi Lembaga Tabung Haji di Malaysia yang mengutip simpanan bakal jemaah secara sistematik dan dilaburkan untuk pulangan optimum.

“Selama ini ramai mengumpul dana haji menerusi pelaburan sukuk dan patuh syariah, maka hasil keuntungan skim pelaburan itu boleh dimanfaatkan BPKH untuk menampung kos BPIH,” jelas Fahri. – Agensi

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com