Imigresen Berjaya Tumpaskan Sindiket Pelacuran Antarabangsa "We-Chat"

Seramai 19 wanita warga asing dipercayai mangsa pemerdagangan manusia yang ditahan Jabatan Imigresen. Foto; Bernama
PUTRAJAYA - Jabatan Imigresen menumpaskan satu sindiket pelacuran antarabangsa yang menawarkan khidmat seks melalui aplikasi sosial 'WeChat' dalam satu serbuan di sebuah pangsapuri perkhidmatan di Georgetown, Pulau Pinang awal pagi Jumaat.

Dalam serbuan pukul 1 pagi itu, 16 wanita warga Uzbekistan, dua wanita warga Vietnam dan seorang wanita warga Indonesia berumur antara 17 hingga 38 tahun ditahan dan juga tiga lelaki warga tempatan yang disyaki 'bapa ayam', yang mendalangi dan menyelia aktiviti tidak bermoral di premis kediaman tersebut.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali berkata, sindiket itu berselindung di sebalik premis kediaman bagi mengaburi agensi penguatkuasa kerana premis kediaman dikawal ketat oleh pengawal keselamatan apartment dan pelawat yang dibenarkan sahaja diberi kebenaran masuk.

"Sindiket ini dipercayai aktif semenjak dua bulan yang lalu dengan menawarkan khidmat seks melalui aplikasi sosial WeChat dengan bayaran RM240 hingga RM350 setiap sesi secara ‘walk-in' dan ‘out call’ di hotel-hotel yang ditetapkan oleh pelanggan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, Jumaat.

Mustafar berkata, serbuan ke kediaman berkenaan dijalankan pasukan Unit Tindakan Imigresen, Jabatan Imigresen Pulau Pinang bersama Bahagian Penguatkuasa, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya setelah memperoleh maklumat daripada warga tempatan.

Wang tunai hasil daripada pendapatan tidak bermoral tersebut berjumlah RM12,629 dan dua buah kereta jenis Mercedes dan Exora yang disyaki digunakan untuk aktiviti haram itu turut dirampas ketika serbuan, katanya.

Mustafar berkata, hasil pemeriksaan awal mendapati wanita-wanita berkenaan masuk ke Malaysia menggunakan Pas Lawatan Sosial dan terdapat antara mereka yang tidak mempunyai dokumen perjalanan.

Kesemua suspek ditahan dan disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002) dan Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (Pindaan 2010), katanya.

"Jabatan Imigresen percaya sindiket ini melibatkan rangkaian sindiket antarabangsa dan hasil daripada penangkapan itu akan membawa kepada penemuan rangkaian-rangkaian sindiket lain yang bergerak aktif yang didalangi warga asing dengan kerjasama warga tempatan," katanya.

Beliau menyeru agar orang ramai melaporkan kepada pihak imigresen sekiranya mereka mengesyaki terdapat aktiviti-aktiviti serupa di kawasan kediaman mereka. - Bernama

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com