Harimau Terlepas Baham Enam Penduduk Akhirnya Dicekup Semula


NEW DELHI - Seekor harimau yang terlepas dari kawasan pemuliharan Pilibhit di Uttar Pradesh, India akhirnya ditangkap semula selepas haiwan pemangsa itu membaham enam orang mangsa.

Harimau tersebut yang terlepas sejak empat bulan lalu, mencetuskan kebimbangan dalam kalangan penduduk apabila sering dilihat mencari mangsa di kawasan penempatan, sekali gus memaksa pihak berkuasa memasang perangkap untuk menangkap si belang itu.

Kelibatnya dikesan pada Sabtu lalu diladang tebu dekat kampung Piparia Karam yang terletak kira-kira lima kilometer dari kawasan habitat harimau itu dan pasukan perhilitan berjaya memengsankan haiwan itu menggunakan ubat penenang.

Bagaimanapun sedikit kekecohan timbul antara pihak berkuasa dan ratusan penduduk tempatan bersenjatakan kapak dan kayu yang marah terhadap haiwan tersebut selepas mayat seorang lelaki tanpa kaki dan tangan ditemukan di sarang si belang tersebut.

Namun keadaan berjaya ditenangkan apabila kedua-dua pihak berunding dan harimau tersebut kini ditempatkan di Zoo Lucknow.

Pakar haiwan, Brijendra Yadav berkata, harimau yang dianggarkan berusia tiga tahun itu diasingkan daripada spesiesnya untuk kajian lanjut.

"Harimau itu agak ganas dan dikurung dalam sangkar berlapis bagi mengelakkan pegawai zoo cedera ketika mengendalikannnya.

"Kami juga akan mengkaji sama ada harimau itu membawa penyakit kepada haiwan lain di zoo ini," katanya.

Sementara itu, pegawai jabatan perhilitan, Kailash Prakash berkata, pihaknya masih mencari punca harimau itu membaham manusia.

"Buat masa ini, pihak zoo akan menguruskan siasatan kes ini," katanya.

Serangan harimau itu bermula pada bulan lalu dan kebanyakan mangsa diserang pada waktu malam ketika mereka tidur di luar rumah.

Pemburuan harimau itu dilakukan secara besar-besaran selepas penduduk kampung mengancam untuk memboikot pilihan raya tempatan pada 15 Februari ini jika si belang tersebut gagal ditangkap.

Sumber: mStar

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com