Harga Naik, Kes Kecurian Makin Meningkat Di Kuala Nerang


KUALA NERANG - Oleh kerana harga getah sekerap naik, dikatakan kegitan mencuri sekerap untuk dijual semakin menjadi-jadi di daerah ini.

Harga getah kini dilapor pada harga RM4.80 sekilogram.

Sehubungan itu, para penoreh meminta pihak polis agar turut membantu menangani kes mencuri getah.

"Saya kerugian hampir RM400 dalam tempoh tiga hari menoreh apabila lebih 80 kilogram getah sekerap di kebun saya dicuri pihak tidak bertanggungjawab, disyaki penagih dadah.

"Saya sedih bila datang untuk kutip hasil getah yang sepatutnya ada dalam bekas tadahan, ia hilang. Keadaan ini menjejaskan sumber pendapatan utama saya," kata Mohd Khairul Nizam Ahmad, 32, dari Felda Bukit Ketapang.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung, Kampung Kubang Palas, Azhar Ahmad berkata beberapa tangkapan pernah dibuat oleh penduduk kampung, namun ketiadaan bukti kukuh menyebabkan tindakan lanjut tidak dapat diambil oleh pihak polis.

"Saya harap polis lebih kerap menjalankan rondaan. Malah pekebun atau penoreh sendiri juga perlu sering turun ke kebun mereka untuk memantau keadaan," katanya.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Padang Terap, Deputi Superintendan Ahmad Nasir Jaafar berkata pihaknya sedia maklum mengenai masalah itu dan mengarahkan anggotanya untuk mempertingkatkan rondaan.

Beliau juga meminta penoreh dan pemilik kebun bekerjasama dengan polis untuk meningkatkan kawalan di ladang dan kebun mereka, dan jika ada tangkapan, serah kepada polis bersama bukti untuk tindakan lanjut.

"Kita banyak terima kes mengatakan ada kecurian getah sekerap, tetapi bukti perlu ada barulah tindakan termasuk mendakwa pesalah dapat dilakukan.

"Saya juga ingin menasihatkan agar orang ramai tidak melakukan sesuatu di luar jangkaan hingga mencederakan pesalah itu," katanya. - Bernama

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com