Hanya Mampu Terlantar Di Katil Lepas Kemalangan Di Suka Menanti

Gayah memberi minuman kepada anak lelakinya yang terlantar.
ALOR SETAR - Seorang pemuda yang diharapkan dapat membantu meringankan beban keluarga, kini hanya mampu terlantar di katil kediaman mereka di Jalan Gunung Keriang, di sini, akibat kemalangan pada Oktober lepas.

Bapa tirinya, Ismail Hussain, 67, berkata, anak lelakinya yang bekerja sebagai pembantu kedai, Mohd Amirul Adli, 21, dilanggar sebuah kereta di Jalan Suka Menanti di sini ketika dalam perjalanan ke tempat kerja.

“Akibat kemalangan itu, anak saya menerima rawatan selama tiga bulan di ICU Hospital Sultanah Bahiyah disebabkan kecederaan dialaminya.

“Sekarang dia hanya mampu terbaring atas katil kerana tidak mampu bergerak memandangkan bahagian tulang punggung tercedera. Lebih menyedihkan, kakinya sudah tidak berupaya berjalan, selain pergerakan tangan dan pendengaran turut terjejas sejak kejadian itu,” katanya.

Ismail berkata, Amirul yang merupakan anak sulung daripada dua beradik kini hanya bergantung kepada dia dan isteri, Gayah Mohd Noor, 48, untuk menguruskan keperluan hariannya.

Menurutnya, mereka perlu memberi tumpuan kepada urusan penjagaan Amirul seperti menyuap makanan dan minuman serta membersihkan diri kerana anak lelakinya itu tidak berupaya lagi menguruskan diri sendiri.

Ismail juga buntu memikirkan kos keperluan Amirul dianggarkan mencecah lebih RM500 sebulan untuk membeli lampin pakai buang, susu khas dan pengangkutan.

“Itu belum masuk sewa kediaman RM200, bil air dan elektrik serta duit sekolah untuk anak kedua kami (Amiruddin Azri, 11). Untuk makan, kami terpaksa berjimat,” katanya.

Menurutnya, pendapatan diperoleh tidak mencukupi untuk menampung perbelanjaan keluarga, apatah lagi Amirul perlu dibawa ke hospital setiap hari untuk mencuci luka di kaki.

Tambahnya, dia hanya mengambil upah memotong rumput dengan pendapatan tidak menentu antara RM800 hingga RM1,000 setiap bulan untuk menyara kehidupan mereka empat beranak.

Justeru katanya, mereka amat berharap agar anak lelakinya itu menerima bantuan kewangan untuk membeli barang keperluan setiap bulan.

Menurutnya, dia juga tidak menolak dan mengalu-alukan sebarang bantuan daripada orang awam sama ada dalam bentuk barang keperluan seperti lampin ataupun barang lain.

Sumber: Sinar Harian

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com