Halang Tugas Polis, Pembantu Kedai Makan Didenda


KUALA LUMPUR – Seorang pembantu kedai makan didenda RM2,500 selepas dia mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini, semalam terhadap pertuduhan menghalang anggota polis menjalankan tugasnya.

Majistret Mahyudin Mohmad Som turut memerintahkan tertuduh Mohammad Azreen Mohd Ali, 29, dipenjara tiga bulan jika gagal membayar denda itu.

Tertuduh didakwa menghalang seorang anggota polis menjalankan tugasnya dengan cuba melarikan diri daripada sekatan jalan raya dan tidak berhenti semasa ditahan pihak polis di Batu 5 1/2 Jalan Klang Lama, di sini, pada 5.15 pagi, 12 Februari lalu.

Dia dituduh mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Nur Farah Adilah Noordin memohon hukuman setimpal supaya dapat memberi pengajaran manakala tertuduh yang diwakili peguam Zulkifli Awang merayu hukuman ringan dengan alasan anak guamnya menjaga ibunya berusia 50 tahun dan dua orang adiknya.

Di mahkamah sama, seorang penjaga tempat letak kereta G.Vadivellan, 34, didenda RM2,000 atau dua bulan penjara jika gagal membayar denda itu kerana mencuri telefon bimbit dan pengecas telefon milik seorang remaja 15 tahun di hadapan sebuah restoran, di Brickfields di sini pada 2.30 petang, 14 Feb lalu.

Dia yang diwakili peguam Zulkifli Awang didakwa mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-keduanya jika sabit kesalahan. – BERNAMA

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com