Guan Eng Ikrar Rampas Semula 4 Kerusi Yang Hilang Di Melaka


ALOR SETAR - DAP hari ini berikrar untuk merampas semula satu kerusi Parlimen dan tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) yang kini diwakili bekas pemimpin parti itu yang mengumumkan keluar parti, baru-baru ini.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, DAP sedang menyusun strategi dan menubuhkan sebuah jawatankuasa kecil yang dikhaskan bagi memastikan kerusi-kerusi itu dikuasai oleh DAP semula pada pilihan raya yang akan datang.

"Walaupun mereka telah keluar parti, tetapi pemimpin-pemimpin pusat tetap memberi semangat dan membantu merampas semula kerusi-kerusi yang ditinggalkan mereka," kata Guan Eng, memetik laporan akhbar berbahasa Cina, Sin Chew Jit Poh.

Sim Tong Him (Ahli Parlimen Kota Melaka), Goh Leong San (Dun Duyong), Lim Jack Wong (Bachang) dan Chin Choong Seong (Kesidang) sebelum ini bertindak keluar parti pada Ahad lalu ekoran telah hilang kepercayaan terhadap kepimpinan DAP.

Difahamkan keempat-empat wakil rakyat itu bertelagah dengan Jawatankuasa Pusat (CEC) DAP selain tidak berpuas hati terhadap beberapa perkara yang diputuskan di dalam parti yang mengetuai Pakatan Harapan itu.

Guan Eng dalam kenyataannya turut mendakwa dirinya ditipu oleh Tong Him dan meragui tujuan sebenar Ahli Parlimen Kota Melaka itu keluar dari parti.

"Saya mengakui saya telah ditipu oleh Tong Him. Saya sedia mohon maaf kepada semua ahli DAP dan pengundi Melaka.

"Saya sendiri masih meragui tujuan sebenar mereka keluar parti. Mereka kata telah hilang keyakinan terhadap DAP, namun tidak pernah memberitahu perasaan tidak puas hati terhadap pemimpin-pemimpin DAP yang lain," kata Guan Eng lagi.

Empat bekas pemimpin DAP itu mengejutkan ramai apabila bertindak keluar parti selepas DAP menjalin kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), sekaligus mencetus spekulasi mengatakan masalah dalaman parti itu sedang meruncing akibat dari kerjasama tersebut.

Turut difahamkan ramai di kalangan pemimpin dan ahli DAP yang tidak berpuas hati terhadap kepimpinan Guan Eng dan bapanya, Lim Kit Siang, menjalin kerjasama dengan PPBM gara-gara bekas pimpinan UMNO yang menguasai PPBM sebelum ini kuat menghentam DAP selama ini. - Kedahnews.com

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com