Faktor Keselamatan, Teksi Motosikal "Dego Ride" Diarah Henti Operasi


KUALA LUMPUR - Kementerian Pengangkutan mengarahkan perkhidmatan teksi motosikal 'Dego Ride' dihentikan serta-merta atas faktor keselamatan.

Menterinya Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata pihaknya juga tidak akan memberikan lesen operasi kepada pengendali perkhidmatan tersebut buat masa ini dan akan mengambil tindakan undang-undang sekiranya masih lagi beroperasi.

"Kita ada kuasa untuk mengawal perkara ini kerana ia melibatkan keselamatan yang terletak di bawah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD).

"Kesalahan ini jelas kerana penunggang tidak boleh membawa orang awam dan mengutip bayaran. Jika ada unsur bayaran, ia adalah satu kesalahan di bawah JPJ," katanya ketika menghadiri sambutan Tahun Baharu Cina dan Hari Wilayah di Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Chong Hwa, di sini, Ahad.


Sebelum ini, Ketua Pengarah JPJ Datuk Nadzri Siron dilaporkan berkata Dego Ride menimbulkan kontroversi kerana tidak mempunyai permit sah, namun boleh terus beroperasi sekiranya mendapat kebenaran SPAD.

Nadzri turut menasihati orang ramai tidak menggunakan perkhidmatan itu sehingga mendapat 'lampu hijau' daripada SPAD.

Mengulas lanjut, Liow berkata sehingga kini pihaknya tidak menerima sebarang permohonan daripada mana-mana pihak untuk menawarkan perkhidmatan itu.

"Kita faham ada orang awam yang menggunakannya kerana masalah kesesakan lalu lintas, namun ketika ini kita sedang meningkatkan perkhidmatan pengangkutan awam seperti LRT dan MRT untuk kesenangan semua," katanya.

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Dego Ride, Nabil Feisal Bamadhaj sebelum ini dilaporkan mendakwa tiada peruntukan undang-undang yang menghalang mereka menawarkan perkhidmatan tersebut. - Bernama

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com