Exco, Kerajaan DAP P.Pinang Campur Tangan Bab Fatwa - AJK Fatwa Negeri


GEORGETOWN - Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang, Datuk Md Salleh Ahmad mengakui berlaku campur tangan kerajaan negeri dalam proses penfatwaan seperti yang dibangkitkan PAS Pulau Pinang sebelum ini.

Katanya, ada arahan daripada Exco Agama Islam, Datuk Abdul Malik Kassim pada 2010 berhubung fatwa kalimah Allah yang telah digazetkan.

Menurutnya, Abdul Malik meminta supaya perkara itu dibincangkan semula agar keputusan Jawatankuasa Fatwa selari dengan pendirian kerajaan negeri pimpinan DAP ketika itu yang tidak bersetuju dengan fatwa kalimah Allah.

“Namun, mesyuarat Jawatankuasa Fatwa pada tahun 2010 tetap bertegas supaya fatwa kalimah Allah yang telah digazetkan, dikekalkan sebagai fatwa.

“Selain itu, terdapat beberapa fatwa yang ditangguhkan oleh Exco Agama untuk dibawa kepada Agong dan perkara ini pernah dibincangkan di dalam mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri,” katanya dalam satu kenyataan.

Md Salleh berkata, beliau kesal dengan apa yang berlaku seolah-olah kuasa Exco Agama di dalam hal penfatwaan ini lebih besar daripada kuasa Jawatankuasa Fatwa Negeri.

Selain itu, katanya campur tangan bukan Islam dalam urusan fatwa tidak sepatutnya berlaku dan amat memalukan umat Islam di negeri ini.

Beliau yang juga adik kepada bekas mufti terdahulu, Datuk Hassan Ahmad menggesa agar campur tangan ini segera dihentikan dan semua fatwa yang diputuskan hendaklah terus dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong dan tidak perlu lagi melalui mesyuarat Exco Kerajaan Negeri.

“Saya berharap kenyataan ini dapat menjelaskan perkara yang sebenar berkaitan isu yang timbul dan  mengharapkan agar masyarakat Islam sama-sama bangkit mempertahankan institusi fatwa daripada sebarang campur tangan dan tekanan politik mana-mana pihak,”katanya.

Sebelum ini, media melaporkan kenyataan Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Muhammad Fauzi Yussof yang mendakwa kerajaan negeri di bawah naungan DAP dilihat bertindak melampaui batas apabila mencampuri urusan institusi fatwa termasuk membekukan beberapa fatwa yang telah dibincangkan oleh Majlis Jawatankuasa Fatwa Negeri.

Bagaimanapun, Exco Agama ketika diminta mengulas mengenai perkara berkenaan menafikan berlakunya campur tangan dalam isu penfatwaan.

Perkara sama turut dinafikan Mufti Pulau Pinang, Datuk Dr Wan Salim Mohd Noor.

Sumber: Sinar Harian

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com