Dadah: Ibu Tunggal Anak 4 Dihukum Penjara 14 Tahun


KUANTAN – Seorang ibu tunggal dijatuhi hukuman penjara 14 tahun oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas tuduhan pilihan memiliki dadah berbahaya seberat 79.88 gram pada 2015.

Pesuruhjaya Kehakiman Hassan Abdul Ghani menjatuhkan hukuman itu terhadap S Junaidah Jaffar Shah, 37, dan memerintahkan ibu kepada empat anak berumur tiga hingga 17 tahun itu menjalani hukuman penjara tersebut bermula tarikh dia ditangkap pada 5 Nov 2015.

Mengikut fakta kes, S Junaidah dituduh memiliki dadah berbahaya seberat 79.88 gram iaitu masing-masing 42.98 gram heroin dan 36.90 gram monoacetylmorphines di rumah beralamat NC U 18 RPS Bukit Serok, Bandar 22 Pahang Tenggara, Kota Bahagia, Rompin pada 8.30 malam 5 Nov 2015.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu bersama seorang anak lelakinya yang ketika itu berusia 16 tahun serta dua rakannya yang merupakan pasangan adik-beradik Sulsilah a/p Awang Manis, 21, dan Rizan, 32.

Bagaimanapun anak lelaki S Junaidah dan dua rakannya itu tidak mengaku salah dan minta dibicarakan namun Hassan membuat keputusan melepaskan tanpa membebaskan ketiga-tiga mereka berikutan ibu tunggal itu telah mengaku salah memiliki dadah berkenaan.

Berdasarkan pertuduhan pilihan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39A(2) akta sama iaitu memperuntuk hukuman penjara seumur hidup ataupun tidak kurang daripada lima tahun dan sebatan rotan tidak kurang daripada 10 sebatan jika disabitkan kesalahan.

Mengikut pertuduhan asal keempat-kempat tertuduh didakwa mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 iaitu boleh dikenakan hukuman mati mandatori jika disabitkan kesalahan.

Kes itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Asyraf Md Kamal manakala S Junaidah diwakili peguam Mohamad Hamizey Mat Taib.

Peguam Muhamad Hissam Ramdzan mewakili anak lelaki S Junaidah dan peguam Syed Mohd Adeeb Barakbah mewakili Sulsilah manakala Rizan diwakili peguam Muhamad Saifuldin Ab Rahman. – BERNAMA

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com