Cederakan Bekas Kekasih, Pelajar Didenda RM1,500


PETALING JAYA – Akibat mencederakan rakan bekas teman wanitanya, seorang pelajar kolej didenda RM1,500 atau dua bulan penjara jika gagal membayar denda itu oleh Mahkamah Majistret di sini, semalam.

Raja Muhammad Syeqal Raja Kamarol, 21, dijatuhi hukuman denda itu oleh Majistret Salamiah Salleh selepas dia mengaku bersalah mencederakan Norsyazmimie Ameliza Sazali, 23, di sebuah rumah, di sini pada 1 pagi, 26 Jan lalu.

“Putus tu maksudnya tiada jodohlah… awak rasa berbaloi tidur dalam lokap semata-mata sebab putus cinta dan serang orang? nasihat majistret sebelum menjatuhkan hukuman terhadap tertuduh.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya.

Timbalan Pendakwa Raya Mary Phoon Keat Mee memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal sebagai pengajaran manakala tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman denda ringan atas alasan dia masih belajar dan telah menyesal dengan perbuatannya.

Mengikut fakta kes, pada hari kejadian mangsa yang berada di rumah telah didatangi seorang lelaki (tertuduh) dan mengetahui bahawa lelaki tersebut merupakan bekas teman lelaki rakannya.

Tertuduh kemudian telah bertindak agresif dengan memukul wanita itu menggunakan tangan dan kakinya dan berkata dia tidak akan beredar dari hadapan rumah mangsa selagi masalahnya dan bekas teman wanitanya tidak selesai.- BERNAMA

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com