Campur Tangan Fatwa: Pemuda UMNO, PAS Negeri Senada Kecam Kerajaan DAP P.Pinang


ALOR SETAR - PAS Pulau Pinang dan Pemuda UMNO Negeri Pulau Pinang berganding bahu mengecam keras Kerajaan DAP Negeri pimpinan Ketua Menteri Lim Guan Eng berhubung campur tangan dalam hal ehwal agama Islam.

Pemuda UMNO Negeri Pulau Pinang, Rafizal Abd Rahim mengutuk tindakan Kerajaan DAP itu dan mendesak supaya Exco Agama Kerajaan Negeri, Datuk Abdul Malik Kassim supaya bertaubat serta insaf atas tindakan tersebut.

"Abdul Malik jangan gementar bila rakyat Pulau Pinang mengetahui perkara sebenar, yakni kerajaan negeri amat kesal, kecewa dan dukacita apabila Jawatankuasa fatwa berhubung dengan kalimah Allah diwartakan tanda merujuk terlebih dahulu kepada kerajaan negeri Pulau Pinang," katanya dalam satu kenyataan kepada media, semalam.

Selain itu, Rafizal mendakwa bahawa Kerajaan pimpinan Guan Eng itu sememangnya terkenal dengan budaya kotor menyalahkan UMNO dalam apa juga tindakan salah mereka terdedah di negeri itu selama ini.

"Memang menjadi budaya kotor kerajaan negeri Pulau Pinang apabila salah laku mereka didedahkan, tindakan paling mudah adalah menjadikan UMNO dan Barisan Nasional sebagai kambing hitam dengan menuduh Umno cuba memperbesarkan isu fatwa ini," katanya lagi.

Sementara itu, Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Muhammad Fauzi Yussof juga senada dengan Rafizal dan menegaskan bahawa tindakan Kerajaan DAP Pulau Pinang itu telah melampaui batas-batas kewajaran.

Katanya, tindakan Kerajaan DAP mencampuri urusan institusi fatwa termasuk membekukan beberapa fatwa yang telah dibincangkan oleh Majlis Jawatankuasa Fatwa Negeri tidak dapat diterima sama sekali.

Sebelum ini, Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang, Datuk Md Salleh Ahmad mengakui berlaku campur tangan kerajaan negeri dalam proses penfatwaan seperti yang dibangkitkan PAS Pulau Pinang sebelum ini.

Katanya, ada arahan daripada Exco Agama Islam, Datuk Abdul Malik Kassim pada 2010 berhubung fatwa kalimah Allah yang telah digazetkan.

Menurutnya, Abdul Malik meminta supaya perkara itu dibincangkan semula agar keputusan Jawatankuasa Fatwa selari dengan pendirian kerajaan negeri pimpinan DAP ketika itu yang tidak bersetuju dengan fatwa kalimah Allah.

“Namun, mesyuarat Jawatankuasa Fatwa pada tahun 2010 tetap bertegas supaya fatwa kalimah Allah yang telah digazetkan, dikekalkan sebagai fatwa.

“Selain itu, terdapat beberapa fatwa yang ditangguhkan oleh Exco Agama untuk dibawa kepada Agong dan perkara ini pernah dibincangkan di dalam mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri,”katanya. -Kedahnews.com

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com