"Bahaya Sekiranya DAP Jadi Sebahagian Pemerintah Negara" - PAS


KUALA LUMPUR – Semoga Allah SWT jauhkan DAP daripada menjadi pemerintah negara sebagaimana yang diimpikan oleh Pakatan Harapan.

Demikian doa yang disebut oleh Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS Pusat, Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali at-Takiri dalam satu kenyataan mengenai DAP baru-baru ini.

Kata beliau, sekiranya dengan hanya memerintah Pulau Pinang, DAP sudah terlalu berani mencampuri urusan Islam, alangkah bahaya sekiranya DAP menjadi sebahagian pemerintah Malaysia.

“Malang sekali sebahagian orang Islam masih terpesona dengan lakonan DAP berkaitan Islam,” katanya dipercayai merujuk kepada penyokong totok Pakatan Harapan dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

Mohd. Khairuddin berkata, surat rasmi yang dikeluarkan Exco kerajaan Pulau Pinang kepada Mufti Pulau Pinang jelas menunjukkan campur tangan DAP ke atas fatwa yang melibatkan Kalimah Allah.

Kata beliau, kenyataan bekas Mufti Pulau PInang dan kenyataan salah seorang jawatankuasa fatwa pada 8 Februari 2017 yang menyebut ada fatwa oleh Jawatankuasa Fatwa Pulau Pinang tidak dipersembahkan kepada Yang Dipertuan Agong kerana campur tangan politik di negeri itu adalah sesuatu yang berat dan serius.

“Ia jelas melibatkan campur tangan politik kerajaan DAP dalam proses fatwa yang mungkin tidak sehaluan dengan pendirian kerajaan negeri.

“Perkara ini tidak boleh dipandang ringan oleh umat Islam. Campur tangan sebuah kerajaan khususnya yang diketuai oleh bukan Islam terhadap fatwa adalah satu penghinaan terhadap agama Islam yang menjadi agama bagi Persekutuan,” katanya.

Justeru, katanya, PAS mendesak kerajaan Pulau Pinang yang dipimpin Lim Guang Eng tidak lagi campur tangan dalam urusan fatwa negeri dan lain-lain.

Tegas beliau, Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri P.Pinang) 2004 jelas menuntut fatwa negeri Pulau Pinang terus dipersembahkan kepada Yang Dipertuan Agong sebagai Ketua Agama Islam Pulau Pinang dan bukannya kepada ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang dipengerusikan Guan Eng.

“Exco terbabit tidak perlu berbelit menafikan dan berdolak dalih bagi mempertahankan diri dan mempertahankan tindakan salah kerajaan negeri pimpinan Guang Eng,” katanya. –Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com