Azimi Daim Dijangka Calon PPBM Parlimen Kulim, Dun Bandar Baharu?


ALOR SETAR - Jika sebelum ini ramai pemerhati politik di Kedah menjangkakan Akhramsyah Muammar Ubaidah Sanusi akan terpilih menjadi calon PPBM bagi Parlimen Langkawi dan Dewan Undangan Negeri (Dun) Kuah, lain pula lokasinya bagi bekas Setiausaha Politik Menteri Besar Kedah, Datuk Azimi Daim.

Bagai "sireh pulang ke gagang", desas-desus mengatakan pemimpin utama PPBM Kedah itu dijangka akan terpilih menjadi calon parti baru itu untuk bertanding di Parlimen Kulim - Bandar Baharu dan Dun Bandar Baharu.

Azimi dilihat bakal menjadi "ayam tambatan" PPBM kawasan tersebut ekoran beliau dikatakan memulakan karier politiknya di kawasan Kedah Selatan itu.

Selain kini menjadikan daerah Kulim sebagai salah sebuah kubu kuat PPBM di negeri Kedah, prestasi pemimpin kanan Datuk Seri Mukhriz Mahathir itu yang berjaya menarik ramai ahli menyertai parti baru itu dikatakan menjadi antara sebab utama beliau dijangka bertanding di sana.

Sementara itu, hubungan rapat antara Azimi dan Mukhriz yang sudah lama bersahabat karib juga dikatakan antara faktor utama beliau dijangka akan diberi kawasan "selamat" tersebut bagi memastikan kemenangan PPBM pada pilihan raya umum (PRU) yang akan datang.

Merujuk kepada perkembangan semasa di laman-laman sosial rasmi PPBM di negeri ini, Azimi dilihat aktif melakukan aktiviti dan berkempen dalam ceramah-ceramah beliau di sekitar daerah berkenaan.

Parlimen Kulim - Bandar Baharu kini diwakili oleh Datuk Abdul Aziz Sheikh Fadzir (BN) sebagai Ahli Parlimen, manakala Exco Kerajaan Negeri Kedah, Datuk Norsabrina Mohd Noor (BN) pula merupakan Adun bagi kawasan Bandar Baharu.

Abdul Aziz pada PRU yang lalu menerima sebanyak 26,782 undi yang menewaskan Naib Presiden PKR, Saifuddin Nasution Ismail yang mendapat sebanyak 24,911, dengan majoriti memihak BN sebanyak 1871 undi.

Manakala Norsabrina pula menerima sebanyak 12,361 undi dan menewaskan calon PAS, Mohd Khairi Mohd Salleh yang mendapat sebanyak 10,292 undi, dengan majoriti memihak BN sebanyak 2069 undi.

Sekiranya kedudukan dan suasana di antara parti politik pembangkang tidak berubah, dijangka PKR akan memberi laluan kepada Azimi untuk bertanding di Parlimen Kulim - Bandar Baharu, namun dijangka akan berlaku pertembungan tiga penjuru di Dun Bandar Baharu. - Kedahnews.com

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com