APMM Tubuh Pasukan Media Siber Untuk Tangkis Tohmahan


KUANTAN – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) telah membentuk satu pasukan media di bawah Unit Komunikasi bagi menjawab segala bentuk tohmahan yang dilemparkan terhadap agensi berkenaan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Shahidan Kassim berkata pasukan media siber itu ditubuhkan tahun ini dan berperanan menjawab tohmahan dan aduan dalam masa singkat.

“Melalui penubuhan pasukan siber berkenaan, kita pastikan supaya tohmahan dan fitnah yang diterima ini dapat dijawab dengan baik,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan sambutan Hari Ulang Tahun Maritim Malaysia ke-12 di Akademi Maritim Sultan Ahmad Shah, dekat sini, petang semalam.

Shahidan berkata tohmahan dan kemusykilan yang diterima perlu dijawab dalam tempoh kurang dua jam.

“Tidak perlu untuk menunggu lama dan berfikir mencari ilham bagi menjawab segala berita yang tidak benar itu… Sekiranya terdapat kesalahan yang dilakukan oleh anggota tindakan undang-undang akan diambil,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata Pasukan Sukarelawan Simpanan Maritim Malaysia yang ditubuhkan di Perlis dan Sabah akan diperluas ke Terengganu, Kelantan serta Selangor menjelang akhir bulan ini.

Beliau berkata lebih 400 orang menyertai pasukan itu di Perlis serta Sabah dan bilangan anggota dijangka bertambah sehingga lebih 10,000 apabila penubuhan di seluruh negara selesai. – BERNAMA

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com