AddThis

Anggota PGA Ditahan Lepas Tembakan Rambang Di Padang Besar

Gambar Hiasan
PADANG BESAR – Seorang anggota Pasukan Gerak Am (PGA) lelaki berpangkat koperal melepaskan berdas-das tembakan secara rambang ke udara di pos keselamatan sempadan di sini petang kelmarin.

Suspek berusia 34 tahun itu dipercayai mengalami tekanan lalu melepaskan tembakan sehingga habis kelopak peluru senapang M16 miliknya sebelum merampas M16 rakannya dan turut menembak sehingga habis kelopak peluru senjata berkenaan.

Tiada kecederaan dilaporkan dalam insiden kira-kira pukul 5 petang di pos keselamatan bersempadan Thailand di sini dan suspek yang bertugas di Batalion Pertama berpengkalan di Ulu Kinta, Perak diberkas rakan-rakannya sebelum diserahkan kepada polis.

Ketua Polis Daerah Padang Besar, Supt Ghazani Abdul Ghani berkata suspek kini ditahan untuk siasatan lanjut.

“Suspek menembak sehingga habis kelopak peluru M16 miliknya dan kemudian mengambil M16 milik rakannya dan turut menembak sehingga habis tetapi tiada yang menjadi mangsa tembakannya.

“Dia mungkin mengalami tekanan dan mengambil dadah untuk melepaskannya kerana ujian air kencing yang dibuat mendapati beliau positif dadah,” kata Ghazani ketika dihubungi semalam.

Menurutnya polis turut merampas dua senapang M16 berkaitan insiden itu dan juga tiga kelopak peluru senjata sama.

Difahamkan setiap kelopak peluru M16 boleh memuatkan antara 20 dan 30 peluru.

Ghazani berkata suspek menyertai operasi selama sebulan bersama pasukannya di sempadan Malaysia-Thailand di sini dan sepatutnya pulang ke Ulu Kinta hari ini.

Bernama difahamkan polis hari ini mendapat perintah tahanan reman empat hari ke atas suspek bagi membantu siasatan. – BERNAMA

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com