Anak Muda Kedah Teruja Berkayuh Dengan PM


ALOR SETAR - Datuk Seri Najib Razak meraikan golongan muda Kedah apabila meluangkan masa berbasikal dengan mereka sejauh kira-kira dua kilometer melalui Program Kayuhan Muafakat Kedah, sempena Program Gen Y Bersama PM, di sini, pagi ini.

Perdana Menteri bersama Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah, memulakan acara berbasikal pada kira-kira jam 8.50 pagi dengan pelepasan disempurnakan isteri Menteri Besar Kedah, Datin Seri Hizam Awang Ahmad.

Acara berbasikal bersama lebih 500 peserta itu bermula di Lebuhraya Darul Aman bersebelahan Menara Alor Setar, menyusuri Jalan Tunku Ibrahim, Jalan Sultan Badlishah dan Jalan Teluk Wanjah, sebelum kembali ke lokasi pelepasan.


Program yang turut menyaksikan himpunan kira-kira 4,000 golongan Gen Y Kedah itu berlangsung di Dataran Menara Alor Setar, di sini, dengan pelbagai acara menarik diadakan seperti pertunjukan bakat, Funrobik BAKTI dan Gen Y Cafe.

Mohd Syafiq Derani, 18, dari Padang Terap berkata, bukan mudah untuknya memperoleh peluang berkayuh bersama Perdana Menteri dan kesempatan tersebut merupakan satu penghargaan kepada anak muda di Kedah.

"Terharu saya dapat berkayuh dengan PM, depa kata PM kurang mesra dengan rakyat. Tapi rupanya semua tu persepsi yang salah di media sosial. Hari ni terbukti PM kita memang sporting dan tidak sebagaimana yang diperkata," katanya kepada Kedahnews.com.


Sementara itu, Nur Juliana Idris, 21, dari Sungai Petani pula berkata, dirinya teruja dapat bertemu dengan Perdana Menteri dari dekat dan keikhlasan pemimpin nombor satu negara untuk bersama anak muda Kedah menandakan beliau sememangnya prihatin kepada generasi muda di sini.

"Saya tak berkayuh dengan PM, tapi saya teruja dapat bersama dengan PM hari ni. Beliau kelihatan sangat mesra dan tak kekok bercampur dengan kita. Beliau prihatin kepada kepentingan dan minat anak muda dan beliaulah PM saya," ujarnya. -Kedahnews.com

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com