Ana Rafali Kini Rupanya Seorang "Teacher" Sekolah Di Cheras


SUATU ketika, penyanyi Ana Raffali pernah berada di puncak populariti dalam industri seni hiburan selepas cipta sejarah tersendiri dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Juara Lagu ke-25 menerusi lagu Tolong Ingatkan aku.

Pun begitu, setelah mendirikan rumah tangga, namanya seakan-akan sepi dalam industri hiburan. Oleh itu, timbul persoalan adakah Ana sudah menamatkan kerjaya nyanyiannya?

Tampil menjawab hal itu, Ana, 32, memberitahu, dia kini menjadi guru bahasa Inggeris di sebuah sekolah di Cheras, Selangor, hampir setahun lalu.

Menurut Ana yang memiliki ijazah Sarjana Muda dalam jurusan Pengajaran dan Pembelajaran Bahasa Inggeris Sebagai Bahasa Kedua (TESL), dia merasakan sudah tiba masanya untuk dia menggunakan ilmu itu.


“Sekarang saya berehat daripada menulis lagu dan menyanyi kerana antara impian adalah untuk menjadi guru. Saya mendapat ijazah kelas pertama, jadi sayang jika tidak menggunakan ilmu yang dipelajari itu.

“Malah ibu bapa sangat berharap melihat saya menjadi pendidik. Bapa seorang saintis dan dia mahu lihat saya berjaya dalam dunia pendidikan.

“Sebenarnya nak kata saya berehat sepenuhnya daripada dunia seni tidak juga kerana ada cipta lagu dan lirik untuk syarikat korporat.

“Terbaru saya hasilkan lagu untuk Pelancongan Malaysia mempromosikan rumah inap desa atau ‘homestay’. Kali terakhir saya cipta lagu komersial pada 2013.


“Masih ada juga pihak yang menjemput saya membuat persembahan. Oleh kerana saya bergerak bebas tanpa terikat dengan mana-mana syarikat rakaman atau pengurusan, penganjur akan menghubungi saya terus.

“Saya juga seorang daripada Ahli Lembaga Pengarah RPMB (Recording Performers Malaysia Berhad) yang memastikan setiap artis dan pemuzik dapat hak mereka dari segi royalti,” katanya kepada Harian Metro.

Sementara itu, Ana akui berhasrat untuk menyambung pengajian ke peringkat ijazah sarjana atau doktor falsafah (PhD) suatu masa nanti.

Hasil perkahwinanya dengan Ahmad Aznaim, Ana dikurniakan seorang cahaya mata, Aaydeen berusia dua tahun. -Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com