Ahmad Bashah Ketuai Kepimpinan Kerajaan Negeri Ikrar Bebas Rasuah


ALOR SETAR - Kerajaan Negeri Kedah menegaskan pendirian dan komitmen untuk membanteras gejala rasuah di negeri ini khususnya di dalam pentadbiran kerajaan negeri dalam usaha menunaikan amanah kepada rakyat.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata, usaha menangani gejala rasuah itu bukan hanya terletak pada bahu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sahaja, malah turut melibatkan kepimpinan kerajaan negeri dan masyarakat.

"Dalam masa sama ia memperlihatkan keikhlasan, komitmen kerja dan keinginan untuk berkhidmat dalam suasana kerja yang kondusif dan bebas rasuah di pihak kerajaan negeri Kedah, demi menjalankan tanggungjawab dan amanah kepada rakyat di seluruh negeri ini.

"Ikrar Bebas Rasuah ini juga membuktikan bahawa usaha membanteras dan memerangi rasuah bukanlah tanggungjawab SPRM semata-mata, tetapi merupakan amanah dan tugas yang perlu digalas dan dikongsi oleh seluruh ahli masyarakat, khususnya barisan kepimpinan di negeri Kedah," tegasnya di sini, hari ini.

Ahmad Bashah berkata demikian ketika menyampaikan ucapan di Majlis Menandatangani Ikrar Bebas Rasuah yang berlangsung di Bilik Gerakan Negeri, Wisma Darul Aman, di sini.

Tegas Menteri Besar, komitmen kerajaan negeri amat tinggi untuk membanteras gejala rasuah di negeri Kedah ekoran ia merupakan tuntutan agama selain menyalahi undang-undang dan memberi impak negatif sekiranya dibiarkan berleluasa.

"Sesungguhnya komitmen kerajaan negeri terhadap isu rasuah ini amat tinggi kerana ia menjadi salah satu tuntuan dalam agama Islam selain ia juga menyalahi undang-undang negara kerana implikasi negatifnya yang amat besar jika ia dibiarkan berleluasa di dalam negara ini," katanya.

Ahmad Bashah hari ini mengetuai kepimpinan kerajaan negeri menjalin kerjasama strategik dengan SPRM bagi membendung dan memperkasa undang-undang terhadap pihak yang terlibat dengan jenayah rasuah di negeri ini. - Kedahnews.com

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com