AddThis

6 Lelaki Ditahan Rusuhan Di Stadium Batu Kawan


NIBONG TEBAL – Enam lelaki ditahan bagi membantu siasatan berhubung kejadian penyokong fanatik Pulau Pinang menimbulkan kekecohan di Stadium Negeri Batu Kawan, dekat sini malam tadi.

Kekecohan dikatakan tercetus apabila penyokong fanatik skuad Harimau Kumbang merusuh di luar stadium selepas perlawanan tamat kira-kira pukul 11 malam, yang menyaksikan Pulau Pinang tewas 0-1 kepada Sarawak dalam aksi Liga Super.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan (SPS) Supt Shafee Abdul Samad berkata semua mereka berusia awal 20-an itu ditahan secara berasingan di sekitar stadium selepas polis berjaya meleraikan kekecohan serta rusuhan itu.

“Polis menahan empat lelaki bersama satu kelongsong suar sebelum menahan seorang lagi yang ketika ditangkap terdapat bersama 12 biji bebola kecil disyaki mercun jenis bola.

“Seorang lagi ditahan bersama empat biji bebola bersumbu disyaki mercun,” katanya di sini, hari ini.

Shafee berkata setakat ini tiada laporan mengenai mangsa yang cedera atau kerosakan dalam kejadian rusuhan berkenaan.

Beliau berkata enam lelaki itu kini direman bagi membantu siasatan.

Pada aksi malam tadi, ia merupakan kekalahan keempat berturut-turut skuad Harimau Kumbang dalam empat aksi liga setakat ini. – BERNAMA

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com