2 Wanita Berkaitan Kematian Warga Korea Utara Direman 7 Hari


SEPANG – Prosiding tahanan reman dua wanita warga asing berhubung kematian seorang lelaki warga Korea Utara Isnin lepas berlangsung di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang, di sini hari ini.

Kereta peronda polis yang membawa Majistret Sepang Sharifah Muhaymin Abd Khalid dilihat tiba di perkarangan IPD itu pada 10.30 pagi.

Beliau yang lengkap berjubah majistret dilihat meninggalkan kawasan berkenaan kira-kira setengah jam kemudian.

Dua wanita terbabit bagaimanapun tidak kelihatan.

Ketua Polis Selangor Datuk Abdul Samah Mat ketika dihubungi mengesahkan prosiding reman tersebut dan berkata kedua-dua wanita berkenaan ditahan reman selama tujuh hari bermula hari ini.

Terdahulu, warga media yang sebelum itu berkumpul di Mahkamah Sepang bergegas ke IPD tersebut setelah menerima maklumat prosiding reman akan diadakan di situ. – BERNAMA

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com