120 Nelayan Tasik Pedu Terima Bantuan Zakat Petrol RON95

Nelayan Tasik Pedu beratur mengambil minyak di Kampung Musa, baru-baru ini.
PEDU - Seramai 120 nelayan di Tasik Pedu menerima bantuan zakat berbentuk minyak petrol RON95 pada program Bantuan Minyak Enjin Bot anjuran bersama Pertubuhan Bantuan Islam Malaysia dan Etiqa Takaful di stesen minyak Kampung Musa, di sini, baru-baru ini.

Presiden Pertubuhan Bantuan Islam Malaysia, Zawahir Abdullah berkata, Kedah adalah satu daripada lima negeri dipilih untuk program bantuan minyak percuma itu, selain Pulau Pinang, Kelantan, Johor dan Pahang.

Katanya lagi, pihaknya dengan kerjasama persatuan nelayan di setiap kawasan terlibat telah mengenal pasti nelayan yang mengikut kriteria dikehendaki.

“Kami telah kenal pasti 300 nelayan layak menerimanya di setiap negeri. Setiap nelayan yang layak akan terima bantuan minyak percuma bernilai RM50, kira-kira 25 liter minyak bagi setiap seorang.

“Di Kedah, kami telah memilih dua lokasi iaitu Kuala Sala dan Tasik Pedu, membabitkan nelayan laut serta tasik,” katanya.

Menurut Zawahir, sumbangan itu diharap dapat mengurangkan beban kehidupan nelayan sesuai dengan kos kehidupan yang semakin tinggi.

“Dalam kita berlumba untuk melaksanakan bantuan ke luar negara, kita seharusnya tidak lupa pada masyarakat di sekeliling kerana masih ramai saudara kita terpinggir dan hidup dalam kesusahan.

“Sudah jadi tanggungjawab sebagai NGO membantu mereka yang memerlukan dan berharap lebih ramai golongan korporat dapat turun ke padang bagi membantu saudara kita yang memerlukan,” katanya.

Katanya lagi, beliau berterima kasih kepada Etiqa Takaful Berhad yang memberi kepercayaan kepada pihaknya bagi menyumbangkan sumbangan itu kepada golongan yang memerlukan bantuan.

Nelayan, Abd Samad Hashim, 49, berkata, dia sangat berterima kasih kepada pihak berkenaan kerana menghulurkan sumbangan bantuan minyak kepada nelayan di situ.

Katanya, walaupun sumbangan itu hanya minyak bernilai RM50, tetapi itu sangat bermakna kepada mereka yang berpendapatan rendah sebagai nelayan di Tasik Pedu.

“Nilai RM50 membolehkan nelayan di situ dapat ke tasik untuk menangkap ikan beberapa hari. Hasil pendapatan itu dapatlah menabung untuk simpanan keluarga kami.

"Saya sangat berterima kasih kerana walaupun kami berada di kawasan pendalaman, tetapi kehidupan kami hari ini turut dipantau pihak berkenaan bagi menghulurkan sumbangan,” katanya.

Sumber: Sinar Harian

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com