Zainal Dedah Cara Azmin, Amirudin Pecat Dari Red Giants


SHAH ALAM – Kemelut melanda Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) kini semakin buruk waima setelah presidennya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali tiba-tiba melepaskan jawatan baru-baru ini.

Terbaharu, bekas ketua jurulatih skuad The Red Giants, Zainal Abidin Hassan mendedahkan dilayan secara tidak adil ketika dipecat pihak pengurusan pasukan bertaraf juara Piala Malaysia 33 kali itu, pada 6 Ogos tahun lalu.

Beliau mendakwa, dirinya ibarat digantung tidak bertali dan tidak boleh melatih pasukan lain kerana pada dasarnya masih memiliki kontrak bersama FAS, walhal hakikatnya tiada lagi majikan sejak dipecat oleh Mohamed Azmin.

Legenda bola sepak negara itu mendesak pihak pengurusan FAS musim 2016, yang diketuai menteri besar Selangor tersebut dan Pengurus Pasukan, Ami­rudin Shari agar bersikap profesional dalam menangani isu pemecatannya.

“Saya hanya mahu perjuangkan hak sebagai bekas jurulatih Selangor seperti yang dimuktamatkan dalam kontrak. Walaupun kontrak saya sehingga November 2017 iaitu selama dua tahun, tetapi ia ditamatkan pada Ogos 2016.

“Memang satu Malaysia tahu bahawa saya telah dipecat, apa yang saya mahu ialah surat pemecatan rasmi daripada FAS itu supaya saya ada bukti menyatakan saya dipecat dan kemudian saya boleh membuat langkah kedua.

“Secara jujur walaupun saya telah dipecat malah dilaporkan pihak media, namun hingga sekarang saya tidak pernah pun menerima apa-apa surat rasmi yang mempunyai logo FAS menyatakan bahawa saya memang sudah dipecat.

“Sebagai jurulatih profesional, saya menerima pemecatan tetapi (FAS) berjanji akan lunas baki gaji saya seperti yang termaktub dalam kontrak selepas rayuan saya ditolak,” katanya dalam sidang akhbar di kediamannya di sini.

Kata Zainal yang kini berusia 55 tahun, sehingga ke hari ini dia langsung tidak menerima sebarang surat pemecatan rasmi daripada pihak pengurusan FAS biarpun pernah memintanya seminggu selepas dirinya dipecat.

Lebih lucu, beliau sebaliknya hanya diberitahu mengenai pemecatan serta merta itu menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) yang dihantar oleh Mohamed Azmin kepada Penolong Pengurus FAS, Noor Hisham Mohd. Ghouth.

Lebih perit, bekas pengendali Pahang itu menjelaskan bahawa gaji bulan November dan Disember masih belum diterima, walhal sepatutnya pihak FAS perlu melangsaikan pampasan baki kontraknya sekali gus selepas dipecat.

Zainal dilantik pada awal musim Liga Malaysia 2016 menggantikan Mehmet Durakovic, tetapi dipecat sejurus Selangor tewas 1-0 kepada Kedah dalam saingan Liga Super di Stadium Darul Aman, Alor Setar pada 6 Ogos lalu.

Lebih kelakar, keesokan hari iaitu pada 7 Ogos, satu kenyataan rasmi dikeluarkan oleh Amirudin hanya menerusi laman Facebook menyatakan konon jurulatih itu dipecat serta merta dan diganti buat sementara oleh K. Gunalan.

“Selepas tamat perlawanan menentang Kedah, saya telah dipanggil oleh penolong pengurus iaitu Nor Hisham dan dia memaklumkan pemecatan saya atas arahan presiden (Azmin) menerusi SMS yang ditunjukkan kepada saya.

“Saya terima keputusan itu, tetapi saya ingin jumpa dan telah buat temu janji dengan pengurus pasukan (Amirudin) untuk merayu serta menceritakan punca sebenar di sebalik kemerosotan prestasi skuad Selangor,” katanya lagi.

Menurut Zainal, selepas dipecat, beliau berjumpa Amirudin lebih tiga kali dan ADUN PKR itu memohon sedikit masa untuk berbincang dengan pihak pengurusan FAS 2016 serta presiden bagi menyelesaikan isu tuntutannya.

Mohamed Azmin mengemparkan peminat The Red Giants apabila mengumumkan peletakan jawatan sebagai Presiden FAS pada 30 Disember lalu selepas mengambil alihnya daripada Tan Sri Khalid Ibrahim pada 2014.

Paling jenaka, Timbalan Presiden PKR itu menyalahkan exco FAS yang suka ‘bermain politik’ dalam pasukan bola sepak negeri tersebut serta menyebabkan kedudukan kewangan persatuan berkenaan dalam keadaan bermasalah.

Tohmahan itu mencetuskan tanda tanya banyak pihak kerana Selangor merupakan negeri terkaya di Malaysia dan mengakibatkan kelab penyokong FAS meminta Sultan Selangor campur tangan. – Agensi

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com