AddThis

Warga Asing Rentung Dalam Kebakaran Di Sungai Petani


SUNGAI PETANI - Seorang lelaki warga Indonesia ditemukan rentung dalam kebakaran di sebuah pondok bersebelahan Wat Siam dekat Kampung Raja di Jalan Kuala Ketil, di sini, pagi semalam.

Mangsa, Amran Sidik, 49, merupakan warganegara Indonesia yang berstatus pemastautin tetap yang dipercayai sudah lama tinggal di pondok itu dan bekerja sebagai buruh kasar di sini.

Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Petani, Ridzuan Nut Jamudin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 5.18 pagi.

"Seramai 19 anggota termasuk pegawai bergegas ke lokasi kejadia selepas menerima panggilan kecemasan daripada orang awam  dan sampai ke lokasi kejadian 10 minit kemudian.

"Setiba di lokasi kejadian didapati kebakaran melibatkan sebuah pondok kosong kelas C dan terdapat seorang mangsa rentung ditemukan.

"Kebakaran berjaya dikawal pada jam 5.30 pagi dan operasi tamat sepenuhnya pada 6.41 pagi. Punca kejadian masih dalam siasatan, " katanya.

Ridzuan Nut berkata siasatan awal pihaknya juga mendapati  pondok kecil berkenaan difahamkan tiada bekalan elektrik dan mangsa hanya menggunakan lilin atau pelita pada waktu malam.

"Mayat mangsa diserahkan pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat kepada pihak polis untuk dirujuk ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) untuk bedah siasat,"katanya.

Sumber: Sinar Harian

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com