Wanita Rohingya Di Rakhine Dirogol Secara Sistematik

KETIKA tentera kerajaan Myanmar semakin menghampiri kampung Pwint Phyu Chaung, penduduk hanya mempunyai beberapa pilihan.

Noor Ankis, 25 yang membuat keputusan untuk tidak melarikan diri mengatakan beliau dipaksa melutut dan kemudian dipukul sebelum dibawa ke suatu tempat rahsia untuk dirogol tentera kerajaan.

Rashida Begum, 22 pula memilih untuk terjun ke dalam sebuah sungai bersama tiga anaknya. Seorang anak Rashidah yang masih bayi hanyut dan gagal dijumpai dalam kejadian tersebut.

Cerita-cerita dari pelarian Myanmar ini yang kini tinggal di Bangladesh memberikan gambaran jelas mengenai keganasan tentera kerajaan sejak beberapa bulan lepas.

Kisah mereka juga selari dengan laporan yang didedahkan oleh pertubuhan-pertubuhan hak asasi manusia.

Dalam laporan tersebut, tentera kerajaan memasuki kampung-kampung di utara Rakhine dan melepaskan tembakan secara rawak, menembak pelancar roket dan memusnahkan kediaman sementara kanak-kanak dan wanita dirogol secara sistematik.

Dari imej satelit yang didedahkan Humans Right Watch (HRW), kira-kira 1,500 kediaman telah dimusnahkan.

Kempen kekejaman kerajaan Myanmar pula kini beralih ke arah selatan dan didakwa tidak akan berhenti sehingga kumpulan etnik Muslim, Rohingya dihapuskan.

"Kami tak tahu langkah tentera kerajaan seterusnya, tapi kami tahu serangan ke atas orang awam sedang berterusan, kata Matthew Smith dari kumpulan Fortify Rights, dipetik laporan Irish Times.

Lawan pengganas konon

Sebuah suruhanjaya yang ditubuhkan kerajaan minggu lalu menafikan dakwaan pembunuhan beramai-ramai yang dilakukan tentera kerajaan di kampung-kampung yang telah dikepung.
Para wartawan dan para penyiasat dari kumpulan hak asasi manusia pula dilarang menjejakkan kaki ke kampung-kampung tersebut.

Myanmar menafikan melakukan sebarang pencabulan hak asasi, kecuali kejadian polis Myanmar yang dirakam membelasah penduduk Rohingya.

Penerima Hadiah Nobel, Aung San Suu Kyii pula dikecam kerana berdiam diri dan ketawa apabila soalan-soalan berkenaan penindasan etnik Rohingya ditujukan kepadanya.

Kempen kekejaman kerajaan dilaporkan bermula pada Oktober selepas sembilan anggota polis dibunuh dan dipercayai dilakukan kumpulan pemberontak bersenjata dari etnik Rohingya.

Sehingga kini, tiada sebarang suspek kejadian dikenal pasti.

Kerajaan Myanmar menyifatkan orang ramai 'tersalah anggap' mengenai kempennya yang menyasarkan penduduk etnik Rohingya.

Sehingga kini, dianggarkan 65,000 pelarian etnik Rohingya sudah melarikan diri ke Bangladesh, kata laporan Organisasi Migrasi Antarabangsa (IOM).

Semua dirogol, semua dibakar

Tentera kerajaan dilaporkan pergi dari rumah ke rumah untuk menangkap lelaki dewasa dan kemudian merogol wanita dan membakar rumah.

Kampung Kyet Yoepin yang mengandungi 245 kediaman musnah dalam operasi dua hari pertengahan Oktober lepas, kata HRW.

Muhammad Shafiq yang berusia 20-an mengatakan askar kerajaan akan membariskan lelaki berasingan dari wanita.

Ketika seorang askar memegang tangan kakaknya, Shafiq melawan dan beliau dibelasah dengan teruk oleh tentera kerajaan dan ditinggalkan untuk mati.

Shafiq kemudian melarikan diri bersama anaknya sambil dihujani peluru yang dilepaskan tentera kerajaan.

Beliau kemudian bersembunyi di sebuah jelapang padi dan melihat dari jauh kampung Kyet Yoepin dibakar oleh kerajaan.

"Dah tak ada rumah lagi. Semua sudah dibakar," kata Shafiq.

Tentera kerajaan suka wanita muda

Noor Ankis mengatakan tentera kerajaan membongkar semua rumah pada waktu pagi untuk mencari wanita muda.

"Mereka kumpulkan kesemua wanita beramai-ramai dan membawa mereka ke satu tempat.

"Yang mana mereka suka, mereka rogol. Di tempat itu, hanya ada tentera kerajaan dan wanita, tiada orang lain," jelas Noor Ankis.

Sufayat Ullah, 20 terjaga dari lena tidur selepas dikejutkan dengan bunyi tembakan.

"Tentera menggunakan parang apabila mereka sudah dekat dengan penduduk.

"Kalau jauh, mereka tembak," kata Sufayat mengingati kejadian ngeri berkenaan.

Sufayat melepaskan diri selepas terjun ke dalam sungai dan berenang sejauh yang boleh.

Beliau tinggal di dalam air selama dua hari sebelum mendapat tahu tentera kerajaan telah membakar kediaman keluarga. Ibu, ayah dan dua adik beradiknya ditinggalkan di dalam rumah yang sedang dibakar dan maut.

"Saya rasa tidak tenteram. Mereka sudah bunuh ibu dan ayah saya. Apa lagi yang tinggal untuk saya di dunia ini?" katanya sambil mengelap air mata.

Sumber: Sinar Harian

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com